Selasa, 3 Disember 2013

Moyes akui United masih terkial-kial



MOYES (kanan) berharap sekembalinya Robin van Persie daripada kecederaan dapat membantu United menemui rentak.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui pasukannya masih tercari-cari momentum sebenar dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England, musim ini.

Moyes berkata demikian menjelang aksi pertemuan menentang Everton di Old Trafford, awal pagi esok.

The Red Devils kini tergelincir di tangga kelapan liga selepas sekadar seri 2-2 ketika menentang Cardiff City dan Tottenham Hotspur baru-baru ini.

Justeru, Moyes menganggap ia masih terlalu awal untuk mengatakan pasukannya dianggap sebagai pasukan pilihan biarpun United dijadualkan menentang kelab bawahan seperti Aston Villa, Stoke City, Hull City dan Norwich City selepas aksi bertemu Everton.

"Kami juga bimbang kerana United dilihat terlalu jauh (dengan pendahulu Liga Perdana England, Arsenal) tetapi kami juga ingin mengatakan perjalanan liga masih jauh.

"United masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan itu dan tanpa disangkal, prestasi kami bertambah bagus.

"Saya berharap United berjaya menemui rentak sebenar. Saya turut sedar bahawa masih banyak perlawanan menanti kami dengan harapan United masih berada dalam keadaan terbaik ketika itu.
"Spurs bukan satu lawan yang mudah dan mereka berjaya mempamerkan aksi cemerlang, baru-baru ini.

"Kini kami memiliki masa seminggu yang mana United ada dua perlawanan di laman sendiri dan tiga aksi di gelanggang lawan.

"Kami berjaya menang (menewaskan Bayer Leverkusen 5-0) pada aksi Liga Juara-Juara, Mungkin prestasi United tidak konsisten tetapi ianya tidak begitu teruk," ujarnya.- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan