Jumaat, 6 Disember 2013

KJ: Kita harus garang di Myanmar


KONTINJEN negara bergambar kenangan dengan Khairy (tengah barisan belakang) selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Bukit Jalil semalam.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu kontinjen Malaysia terus garang dan jangan mudah mengaku kalah walaupun berdepan cabaran sengit untuk meraih pingat di Sukan SEA Myanmar nanti.

Menurut beliau, persembahan atlet negara pada temasya dwitahunan itu yang membuka tirai pada 11 hingga 22 Disember turut membawa bersama harapan 28 juta penduduk Malaysia. 

"Saya harap, biarlah ketika pasukan lain meninggalkan kolam atau arena pertandingan, mereka akan ingat bahawa mereka telah berdepan atlet terbaik negara di Sukan SEA. 

"Bukan sahaja akan ingat atlet kita yang berjaya meraih pingat tetapi mempunyai semangat dan tahap disiplin yang tinggi," kata Khairy selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam. 

Tidak mahu terlalu meletakkan tekanan yang tinggi untuk mencapai sasaran 40 pingat emas, Khairy percaya 556 atlet yang bertanding sudah 100 peratus bersedia untuk bertempur.

"Dengan latihan yang dilalui sepanjang masa serta penyertaan di kejohanan bertaraf antarabangsa yang lain, saya yakin para atlet telah bersedia untuk berjuang di Myanmar.

"Saya juga yakin, mereka akan dapat melakukan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Selagi mereka tidak berputus asa, pingat akan menjadi milik mereka," kata Khairy.

Khairy juga percaya, urusan kontinjen negara sepanjang berada di Nay Pyi Taw, Yangon, Mandalay dan pantai Ngawe Saung akan berjalan dengan lancar di bawah kepimpinan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Wira Amiruddin Embi.

"Saya berharap tiada masalah besar akan timbul sepanjang kontinjen negara berada di sana. Sekali pun ada, saya percaya ia akan ditangani dengan baik kerana pegawai yang dihantar termasuk pegawai perubatan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing," jelas Khairy. 

Dalam pada itu, pembawa bendera negara, Sazali Abdul Samad optimis atlet negara dapat melakukan yang terbaik dan akan bekerja keras untuk membawa pulang pingat. 

"Sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara masing-masing. Kita tidak mahu balik dengan tangan kosong walaupun tahu, tugasan di Myanmar tidak semudah yang dijangka," kata jaguh bina badan negara itu

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan