Ahad, 15 Disember 2013

Dakap gelaran keempat



CHONG WEI muncul juara Siri Super Masters Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei menutup tirai 2013 penuh bergaya apabila menjuarai Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Chong Wei meraih gelaran keempat pada edisi keenam kejohanan itu apabila mudah menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-10, 21-12 dalam tempoh 32 minit.

Gelaran tersebut sekali gus menjadi rekod terbaharu bagi Chong Wei yang meraih tujuh kemenangan Siri Super dalam tempoh setahun.

"Pertama kali, saya sangat gembira kerana saya tidak pernah memenangi tujuh gelaran Siri Super dalam tempoh satu tahun dan ini untuk kali pertama dalam karier saya.

"Jadi, saya harap dapat meneruskan lagi semangat yang saya pamerkan pada kejohanan ini untuk persiapan bagi menempuhi tahun depan," kata Chong Wei semalam.

Tampil selaku pilihan utama, Chong Wei mudah menjinakkan pemain kelima dunia itu, sekali gus merekodkan kemenangan kelapan berturut-turut sejak kali pertama mereka berentap pada Terbuka Filipina 2007.

"Saya lihat permainan Tommy hari ini (semalam) agak perlahan dan saya mengawal perlawanan itu. Mungkin aksi yang sengit dengan Kenichi Tago semalam (kelmarin) membuatkan dia letih.

"Walaupun dia menang mudah pada set ketiga dengan Kenichi tetapi masa perlawanan yang agak lama memberi kesan kepadanya untuk beraksi pada aksi final hari ini (semalam)," ujar Chong Wei. 

Selaku juara, Chong Wei meraih meraih hadiah wang tunia AS$40,000 (RM129,340), manakala Tommy membawa pulang AS$20,000 (RM64,670).

Sebagai rekod, Chong Wei meraih tiga gelaran Siri Super Akhir berturut-turut iaitu pada edisi 2008, 2009 dan 2010.

Namun, dia tewas kepada Chen Long pada aksi separuh akhir edisi 2011 sebelum bintang muda China itu tumpas kepada rakan senegaranya, Lin Dan di pentas final.

Malang menimpa Chong Wei apabila dia menarik diri daripada aksi peringkat Kumpulan A Siri Super Akhir 2012 ekoran kecederaan pada kaki kanan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan