Ahad, 8 Disember 2013

Bosque sudah menjangkakannya



BOSQUE sudah meramalkan Sepanyol bakal diundi dalam satu kumpulan dengan Belanda.


MADRID - Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque menjelaskan bahawa dia sudah menjangka bakal diundi bersama finalis Piala Dunia 2010, Belanda untuk aksi pusingan akhir kempen Piala Dunia 2014 di Brazil.

Skuad La Roja itu bakal memulakan misi untuk mempertahankan kejuaraan pada Piala Dunia 2014 dengan menentang Belanda di Salvador pada 13 Jun depan sebelum bertemu Chile dan Australia dalam saingan peringkat Kumpulan B.

Skuad kendalian del Bosque itu pernah menewaskan The Oranje pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang menyaksikan pemain tengah, Andres Iniesta menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.

Kini, pasukan bimbingan Louis Van Gaal berazam untuk menebus kekecewaan itu meskipun Belanda telah melakukan beberapa pertukaran pemain dan perubahan tersebut dikatakan menghadirkan kebimbangan kepada del Bosque.

"Saya telah berkata kepada barisan pemain saya bahawa Sepanyol tetap akan bertemu dengan Belanda. 

"Ternyata, tekaan saya tepat kerana kedua-dua pasukan ini bakal bertemu untuk aksi pertama di pentas Piala Dunia 2014.

"Biarpun Belanda mengalami perubahan di bahagian tengah tetapi mereka masih memiliki Arjen Robben, Robin van Persie, Rafael van der Vaart dan Wesley Sneijder," ujarnya.

Meskipun berhasrat untuk mempertahankan kejuaraan pada tahun depan, Sepanyol pernah dikejutkan dengan kekalahan kepada Switzerland pada aksi Piala Dunia 2010.

Kini, del Bosque berharap kejadian tersebut tidak akan berulang di Brazil nanti dan beliau menuntut semangat perjuangan lebih tinggi daripada anak-anak buahnya.

"Dari segi mentaliti, kami sudah bersedia untuk menghadapi aksi pertama. Sudah tentu Belanda akan memberikan ancaman tetapi kami telah bersedia bersaing di peringkat lebih tinggi.

"Ia bukan bergantung kepada pihak lawan sahaja tetapi keupayaan diri sendiri menjadi keutamaan. Inilah pendekatan Sepanyol dalam mana-mana kejohanan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan