Ahad, 15 Disember 2013

Neymar wira Barcelona


BARCELONA - Neymar muncul wira apabila meledak dua gol bagi membantu Barcelona mengatasi Villarreal 2-1 pada saingan Liga Sepanyol di Nou Camp awal pagi semalam.

Penyerang antarabangsa Brazil itu membuka tirai jaringan The Catalan menerusi sepakan penalti pada minit ke-30.

Kapten pasukan pelawat, Mateo Musacchio berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-48 sebelum Neymar menjamin kemenangan bergaya tuan rumah pada minit ke-68.

Dengan kemenangan itu, The Catalan berjaya mengekalkan rekod kebal tanpa kalah dalam 23 perlawanan di Nou Camp.

Skuad kendalian Gerardo Martino itu juga berjaya melebarkan jurang lima mata di depan Real Madrid yang sekadar seri 2-2 dengan Osasuna dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.
"Saya lebih gembira dengan kemenangan ini berbanding semasa menewaskan Atletico Madrid dalam aksi Piala Raja Sepanyol.

"Kami berjaya mengatasi sebuah pasukan yang berkualiti seperti Villarreal.
"Bagi saya, kemenangan ini lebih mustahak berbanding memikirkan keciciran mata yang dialami Real," kata Martino.

Martino juga gembira apabila anak-anak buahnya berjaya mengekalkan momentum kemenangan selepas mengatasi Cartagena 4-1 dan Celtic 6-1 dalam aksi Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara sebelum ini.

"Pemain berjaya mengekalkan tahap persembahan yang konsisten dalam tiga perlawanan," katanya.
Beliau juga mengakui merasai ketiadaan Lionel Messi yang belum pulih daripada kecederaan.
"Messi seorang pemain terbaik dunia, sudah tentu ketiadaannya dirasai.

"Jika Messi ada, saya percaya kami akan beraksi dengan lebih baik dalam ketiga-tiga perlawanan ini," kata Martino. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan