Ibrahimovic pamer kehebatan lagi PENYERANG Paris Saint Germain (PSG) Zlatan Ibrahimovic (kiri) berjaya melepasi halangan pemain tengah Lyon, Maxime Gonalons dalam aksi saingan Ligue 1 Perancis awal pagi semalam. - Foto AF
 
Paris: Paris Saint-Germain mempamer kehebatan apabila Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol semasa kemenangan 4-0 menewaskan Lyon di Parc des Princes, kelmarin.

Ibrahimovic menjaringkan kedua-dua golnya daripada sepakan penalti untuk membolehkan dia berada pada kedudukan teratas penjaring terbanyak Ligue 1, sementara Edinson Cavani dan kapten, Thiago Silva juga berjaya menyumbang gol bagi membantu PSG meneruskan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan pada musim ini.
Dahului 4 mata


Mereka kekal empat mata di depan Lille dan lima mata di depan Monaco, di kedudukan teratas liga selepas mengatasi pasukan Lyon yang sebelum ini mendominasi saingan bola sepak Perancis itu tetapi kini berada di pertengahan carta liga.

Jurulatih Lyon, Remi Garde mengakui pasukannya ‘tidak bertanding dengan tahap yang sama seperti PSG’, manakala pengurus PSG Laurent Blanc pula menegaskan keputusan gol tidak semestinya mencerminkan saingan perlawanan.

“Jumlah jaringan mungkin membuat anda berfikir ia adalah mudah daripada awal hingga akhir tetapi Lyon sebenarnya mendatangkan kesukaran buat kami daripada awal lagi,” katanya. - AFP 
 
Berita Harian