Ahad, 15 Disember 2013

Rentak sempurna Fernandinho



FERNANDINHO (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika aksi menentang Arsenal di Stadium Etihad kelmarin. City menang 6-3.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini menyifatkan Fernandinho telah menampilkan corak permainan sempurna sewaktu kemenangan besar 6-3 ke atas Arsenal pada aksi Liga Perdana England kelmarin.

Fernandinho yang dibeli dari kelab Ukraine, Shakhtar Donest dengan nilai RM158 juta pada Jun lalu mula dilabel antara pemain terbaik City selepas membuat 13 penampilan musim ini.

Pada aksi di Stadium Etihad kelmarin, pemain antarabangsa Brazil itu meledak dua gol dan ia merupakan jaringan pertamanya dalam saingan liga domestik.

"Fernandinho telah beraksi dengan sangat hebat. Ia bukanlah hanya sekadar dua gol, malah dia kerap kali berjaya merampas bola daripada pihak lawan dan membuka ruang kepada pemain lain.

"Saya sangat gembira dengan persembahannya, namun kamu boleh menilai dia sendiri apabila tamat musim nanti. Prestasinya akan meningkat dari setiap minggu.

"Fernandinho adalah pemain tengah Brazil yang sangat tipikal. Dia mengawal bola dengan cantik dan kelajuan yang dimiliki membolehkannya kerap naik untuk menyerang. Dia juga mempunyai gandingan serasi bersama Yaya Toure.

"Yaya Toure, Samir Nasri dan David Silva juga telah beraksi cemerlang. Dengan adanya pemain-pemain ini (termasuk Fernandinho) membuatkan pihak lawan sukar untuk menembusi benteng tengah kami," kata Pellegrini.

Pellegrini turut mengakui bahawa Fernandinho telah membuktikan City membuat keputusan berbaloi walaupun yuran perpindahannya dianggap terlalu tinggi.

"Pemain yang berkualiti tidak murah," jelas bekas pengendali Real Madrid dan Malaga itu.

Pada aksi kelmarin, enam gol City telah dijaringkan oleh Sergio Aguero pada minit ke-14, Alvaro Negredo (39), Fernandinho (50 dan 88), Silva (66) dan sepakan penalti daripada Toure (90).

Tiga gol Arsenal telah dijaringkan oleh Walcott yang meledak dua gol pada minit ke-32 dan 63 sementara satu lagi menerusi tonggak pertahanan, Per Mertesacker. 

The Citizen meneruskan jumlah jaringan besar di Stadium Etihad apabila merekodkan 35 gol dalam lapan perlawanan di laman sendiri setakat ini. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan