Jumaat, 6 Disember 2013

Hazard buat Mourinho puas


SUNDERLAND - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan Eden Hazard telah meletakkan dirinya berada dalam kelas tersendiri selepas memuji persembahan cemerlang pemain tengah itu.

Tonggak berusia 22 tahun itu muncul sebagai inspirasi The Blues ketika merakamkan kemenangan dramatik menewaskan Sunderland 4-3 pada aksi Liga Perdana England, awal pagi semalam.

Hazard berjaya menjaringkan dua gol termasuk mencipta satu peluang jaringan kepada perancang Chelsea, Frank Lampard.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan skuad kendaliannya Mourinho merapatkan jurang perbezaan mata dengan pendahulu liga, Arsenal yang kini memiliki kelebihan empat mata.

Sebelum ini, ramai pengkritik meragui keupayaan Chelsea untuk merebut kejuaraan Liga Perdana England selepas bermula hambar pada awal musim ini.

Mourinho berkata, Hazard berhak menerima pujian selepas muncul sebagai pemain terbaik dalam aksi menentang Sunderland.

"Kami bermain dalam satu aksi yang begitu fenomena. Saya fikir inilah permainan Chelsea paling terbaik di gelanggang lawan dan kami berjaya menjaringkan gol-gol yang menarik.

"Malah, ia mungkin persembahan terbaik dari Hazard sejak saya tiba di Chelsea. Kami mengetahui bakatnya tetapi semangat juang Hazard adalah punca kemenangan Chelsea pada hari ini (semalam).

"Inilah kali pertama saya menyaksikan prestasi cemerlang Hazard. Seperti yang saya katakan tadi, dia seorang pemain muda yang cukup berbakat," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan