Ahad, 8 Disember 2013

Suarez tidak akan dijual


SUAREZ tidak akan dilepaskan kepada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers tidak akan meletakkan sebarang harga kepada penyerangnya, Luis Suarez.

Menurutnya, Suarez tidak akan dijual kepada mana-mana kelab.

Penyerang antarabangsa Uruguay itu kini meledak 14 gol dalam kempen Liga Perdana England musim ini apabila sekali lagi menemui sentuhan penyudah semasa membantu The Reds mengatasi West Ham United 4-1 di Anfield kelmarin.

Dia juga cemerlang menjaringkan empat gol semasa membelasah Norwich City 5-1 minggu lalu.
"Suarez cukup bernilai dan saya tidak berhasrat untuk meletakkan sebarang harga terhadapnya.

"Dia masih memiliki kontrak selama dua tahun setengah bersama kami dan melihatkan corak persembahannya yang konsisten, saya percaya dia akan kekal lebih lama di Anfield," kata Rodgers.

Selain Suarez, tiga lagi gol The Reds pada aksi menentang West Ham itu dijaringkan oleh Mamadou Sakho (m-47) dan dua gol jaringan sendiri pemain West Ham iaitu Guy Demel dan Joey O'Brien pada minit ke-42 dan 84.

Gol saguhati pelawat pula diperoleh menerusi jaringan sendiri tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel pada minit ke-66.

Rodgers juga enggan menggantikan Suarez dengan mana-mana penyerang lain di seluruh dunia.
"Banyak kelab terbaik dunia mahukan Suarez, jadi saya tidak akan sesekali menggantikannya dengan mana-mana penyerang lain.

"Saya gembira dapat bekerjasama dengannya dan ia sesuatu yang cukup istimewa apabila memiliki pemain sehebat Suarez," jelas Rodgers.

Dalam pada itu, Rodgers juga tidak dapat menyembunyikan kebimbangan terhadap kecederaan yang dialami Steven Gerrard yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua gara-gara kecederaan hamstring.
"Saya masih menunggu laporan perubatan, saya harap kecederaan Gerrard tidak begitu serius," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan