Jumaat, 6 Disember 2013

Everton bikin United malu besar



OVIEDO meraikan jaringannya ketika Everton menentang United pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes percaya The Red Devils masih mampu mendakap trofi Liga Perdana England biarpun ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Arsenal.

United mengalami kekalahan keempat musim ini apabila dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Everton di Old Trafford awal pagi semalam.

Sebagai rekod, United hanya tewas lima kali ketika menjuarai liga domestik musim lalu.
Biarpun mengakui pasukannya bergelut untuk mencabar kedudukan peneraju liga apabila kini berada di tangga kesembilan, Moyes tetap optimis perjuangan mereka masih belum berakhir.

"Perjalanan liga masih panjang. Kami masih mampu mencabar dengan syarat tidak lagi keciciran mata selepas ini.

"Sudah tentu saya masih mempercayai kredibiliti pasukan saya untuk mempertahankan trofi," kata Moyes.

Pada aksi semalam, jaringan tunggal Bryan Oviedo pada penghujung babak kedua sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Moyes juga mengakui belum mengetahui bila Robin van Persie bakal kembali selepas mengalami kecederaan pangkal paha sebelum ini.

"Ia satu kecederaan yang tidak begitu serius, jadi saya harap Van Persie akan kembali beraksi dalam beberapa minggu lagi," katanya.

Moyes juga tidak mempedulikan cemuhan bekas penyokongnya di Everton selepas membeli pemain tengah, Marouane Fellaini musim ini.

"Ia (cemuhan) bukan sesuatu yang penting, bagi saya penyokong Everton menyokong kelab mereka dengan baik.

"Saya tahu mereka pasukan yang hebat dan memiliki beberapa pemain berkualiti," tegasnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan