Ahad, 8 Disember 2013

Real hilang sengat tanpa Ronaldo



RONALDO tidak dapat diturunkan pada aksi menentang Olimpic Xativa, kelmarin gara-gara menerima kad merah.


MADRID - Ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale dilihat menjejaskan rentak Real Madrid apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Olimpic Xativa dalam aksi pertama pusingan keempat Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.

Ronaldo tidak beraksi selepas menjalani hukuman penggantungan perlawanan gara-gara dilayangkan kad merah semasa tewas kepada Atletico Madrid pada perlawanan akhir musim lalu sementara Bale diketepikan kerana menghidap selesema.

Dengan ketiadaan kedua-dua pemain itu, pengendali The Galacticos, Carlo Ancelotti mempertaruhkan gandingan penyerang muda, Alvaro Morata dan Jese Rodriguez.

Biarpun gagal memberikan impak yang diharapkan, Ancelotti tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Pemain tetap mempamerkan aksi yang baik, jadi saya tidak begitu bimbang dengan ketumpulan jentera penyudah.

"Namun, permukaan padang tiruan menjejaskan rentak permainan kami kerana kami tidak biasa beraksi di atas permukaan itu," kata Ancelotti.

Kedua-dua pasukan bakal berentap semula dalam aksi kedua di Santiago Bernabeu pada 19 Disember depan.

Dalam pada itu, juara bertahan, Atletico Madrid tidak berdepan masalah mengatasi Sant Andreu 4-0 dalam satu lagi aksi semalam.

Dalam perlawanan itu, dua gol jaringan Arda Turan serta satu gol masing-masing jaringan Raul Garcia dan David Villa sudah cukup untuk menjamin kemenangan selesa Atletico.

"Pemain berjaya memberikan komitmen yang cukup bagus, kami berjaya menguasai permainan dan kemenangan selesa ini benar-benar melegakan.

"Saya juga gembira dengan kemampuan pemain seperti Turan dan Garcia yang berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan ini," kata pengendali Atletico, Diego Simeone. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan