Selasa, 3 Disember 2013

Sabah mahu Rozaimi kembali


SABAH akan berusaha mendapatkan semula khidmat penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman bagi mengharungi saingan Liga Premier musim depan. 

Kehadiran anak kelahiran Bongawan ini pasti dinantikan penyokong setia Sabah dalam mengembalikan kembali kehebatan skuad Badak itu. 

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Joehari Ayob berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan khidmat Rozaimi selepas berakhirnya temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung bulan ini. 

"Dia (Rozaimi) akan kembali dan menyertai rakan-rakan sepasukannya selepas tamat Sukan SEA.
"Sememangnya, kita amat menantikan kehadirannya yang dijangka mampu meningkatkan semangat pemain-pemain lain," kata Joehari di Kota Kinabalu semalam. 

Sementara itu, Rozaimi berkata, dia belum membuat sebarang keputusan, sama ada kembali menyertai Sabah atau kekal bersama skuad Harimau Muda A.

"Ya, saya ada mendengar tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum berikan sebarang kata dua dengan saya secara rasmi... mungkin selepas Sukan SEA nanti," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!

Untuk rekod, Sabah telah mengikat kontrak dengan lima pemain baharu termasuk dua bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) - Redzuan Nawi dan Ezaidy Khadir.

Tiga pemain yang lain yang akan memperkuatkan Sabah adalah bekas pemain tengah Sime Darby FC, Hasmarul Fadzir Hassan, Fazli Paat (Johor) dan A. Varathan (ATM).

Sabah juga akan diperkuat dengan kehadiran tiga awang import - Altin Grbovic dari Serbia, Srecko Mitrovic (Australia) serta Predrag Pocuca (Croatia). 

Joehari berkata, barisan pemain Sabah hampir dimuktamadkan dengan terbaharu, bekas pemain skuad Piala Presiden, Rexjeson Pitrus dari Keningau merupakan pemain tempatan diambil oleh SAFA. 

"Keputusan muktamad akan dilakukan selepas siri perlawanan pramusim di Malang, Jawa Timur, Indonesia. 

"Sasaran utama kita adalah tahun depan adalah untuk menduduki sekurang-kurangnya dua teratas Liga Premier serta layak ke Piala Malaysia," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan