Kota Bharu: Kelantan sekali lagi bakal membuat kejutan apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan sedang berusaha mendapatkan khidmat bekas pemain pinjaman The Red Warriors (TRW) musim lalu, Mohd Afiq Azmi bagi memantapkan pasukan musim depan.

Difahamkan, nama penyerang Selangor itu sudah disenarai pendek dalam skuad TRW bagi mengisi kekosongan pemain ke-25 TRW yang masih menjadi tanda tanya.
Sekiranya khabar angin itu benar, ia pasti menjadi kejutan kedua buat TRW selepas kejutan pertama ketika sesi pengenalan pemain TRW 2014 minggu lalu apabila bekas pemain import Kelantan musim lalu, Mohamed Ghaddar kembali menyarung jersi pasukan itu untuk musim depan.


Dalam radar

Menurut sumber dalaman KAFA, Mohd Afiq memang berada dalam radar Kelantan bagi memantapkan jentera serangan TRW selepas ramai tonggak utama berpindah ke pasukan lain.

“Sebelum ini memang Selangor ada menawarkan pemainnya untuk Kelantan. KAFA ada membuat rundingan dengan seorang pemain mereka (Selangor) dan besar kemungkinan (Mohd) Afiq.

“Sejauh mana rundingan itu berjalan saya tidak tahu kerana urusan pemilihan barisan pemain TRW terletak di tangan pengurusan tertinggi TRW dan sukar untuk saya mengesahkannya,” katanya.