Ahad, 15 Disember 2013

Welbeck sumbang dua gol pantas



WELBECK (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika United menentang Aston Villa di Villa Park semalam.


LONDON - Danny Welbeck menjaringkan dua gol pantas bagi membantu Manchester United menang selesa 3-0 ke atas Aston Villa pada aksi Liga Perdana England di Villa Park semalam.
Penyerang kebangsaan England itu meledak dua gol dalam masa empat minit pada babak pertama, sekali gus memberikan kedudukan selesa buat United sebelum Tom Cleverly menyumbat satu lagi gol The Red Devils.

Pengurus United, David Moyes menurunkan Welbeck dalam kesebelasan utama untuk digandingkan bersama Wayne Rooney apabila Robin van Persie tidak dapat diturunkan kerana masih dibelenggu kecederaan.

Perlawanan itu juga menyaksikan penampilan semula pemain tengah, Darren Fletcher sejak kali terakhir dia beraksi bersama United setahun yang lalu.

Villa terlebih dulu melakukan serangan dengan menguji penjaga gol United, David De Gea melalui Karim El Ahmadi, Marc Albrighton dan Christian Benteke.

Namun, tuan rumah telah dikejutkan dengan jaringan United pada minit ke-15 apabila Welbeck dengan tenang menjaringkan gol selepas percubaan Adnan Janujaj terkena tiang hasil hantaran Rafael.

Penyerang berusia 23 tahun itu meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-18, bermula daripada usaha keras yang dilakukan pemain sayap, Antonio Valencia.

Gol ketiga United hadir menerusi hantaran Rooney yang disempurnakan dengan bijak oleh Cleverly pada minit ke-52.

Fletcher mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton apabila pemain kelahiran Scotland itu dimasukkan ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Kemenangan tersebut meletakkan skuad kendalian Moyes itu di tangga kelapan dengan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Arsenal manakala Villa pula kekal di tangga ke-11.

Sementara itu, Norwich City mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Swansea City. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan