Ahad, 8 Disember 2013

Jangan takut dengan lawan



KIM SWEE (kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya ketika menjalani latihan di Stadium Kelab Bola Sepak Nay Pyi Taw semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar – Pengendali skuad bola sepak Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee memberikan amaran keras kepada anak-anak buahnya menjelang aksi sulung Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Zayyar Thiri petang esok.

Kim Swee berkata, para pemain perlu menghormati pasukan lawan dan bukannya takut kepada mereka.

Selain itu, mereka juga tidak boleh menganggap Brunei sebagai lawan yang lemah, sekali gus bercita-cita untuk meledakkan jaringan yang besar pada perlawanan tersebut.

“Pemain-pemain nampak begitu baik sekali. Kami telah melakukan beberapa corak latihan dan saya dapati mereka berada dalam keadaan yang cergas serta bersemangat. Jadi, saya mahu teruskan momentum itu sebelum menghadapi perlawanan pertama.

“Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh melakukan, kami akan lakukan. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

“Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

“Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri,” kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Kelab Bola Sepak Nay Pyi Taw semalam.

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya itu berkata, beliau hanya akan merangka strategi selepas menyaksikan perlawanan pertama semua pasukan dalam kumpulan tersebut.
“Setelah saya menyaksikan permainan mereka, baru saya boleh buat strategi. Selagi belum lihat bagaimana corak permainan semua pasukan, saya tidak boleh rangka sebarang strategi.
“Sangat penting untuk melihat perlawanan mereka. Bukan sahaja saya perlu membuat penilaian, para pemain juga perlu tengok bagi membolehkan mereka mencari kelemahan dan kekuatan pemain lawan.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak menganggap jadual perlawanan Harimau Muda sebagai satu kelebihan kerana apa yang lebih penting adalah percaturan corak latihan dan proses pemulihan yang betul.
Ketika ditanya mengenai pemain yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan itu, Kim Swee berkata, beliau hanya akan membuat keputusan sebelum perlawanan bermula.

Pada edisi ke-27 temasya dwitahunan ini, Harimau Muda akan diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu pasukan itu memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Selain A. Thamil Arasu, enam lagi pemain tersebut ialah Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah).

“Tidak semestinya kesemua pemain ini akan berada dalam skuad utama. Oleh sebab itu, perlawanan pertama sangat penting. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, saya akan kekal dengan strategi asal.

“Namun, jika sebaliknya, saya akan membuat sedikit bertukaran strategi,” kata Kim Swee.
Pada aksi sulung Kumpulan B kelmarin, Timor-Leste tewas 1-3 kepada Thailand, manakala Myanmar membelasah Kemboja 3-0 di Stadium Thuwunna, Yangon.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan