Sabtu, 16 Mac 2013

Arteta belum menyerah kalah



ARTETA (kiri) yakin Arsenal akan menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas pada kempen Liga Perdana England musim ini.


SWANSEA - Mikel Arteta yakin Arsenal mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas pada kempen Liga Perdana England musim ini.

Pemain tengah Sepanyol itu berkata, kegagalan skuad The Gunners melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara menyuntik semangat para pemain untuk merealisasikan impian tersebut.

Skuad bimbingan Arsene Wenger itu menang 2-0 pada aksi kedua kalah matu di Allianz Arena kelmarin, kali pertama Bayern Munich tewas kepada kelab England di gelanggang sendiri sejak 20 tahun lalu.

Begitupun, Arsenal gagal melayakkan diri ke kelompok lapan pasukan terbaik pada pertandingan berprestij di Eropah itu berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan selepas tewas 1-3 pada aksi pertama di Stadium Emirates, 19 Februari lalu.

Kegagalan itu menyebabkan Arsenal kini terpaksa mengharungi tempoh lapan tahun tanpa gelaran.

Namun, Arteta yakin terdapat banyak aspek positif yang boleh diambil berdasarkan persembahan Arsenal sepanjang musim ini.

Bekas pemain Everton itu mendesak rakan-rakan sepasukan untuk menampilkan persembahan terbaik ketika berkunjung ke Swansea malam ini.

Ketika ini, Arsenal menghuni tangga keenam liga selepas ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea dan berdepan cabaran yang sukar sekiranya mereka layak ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

"Keputusan ini (menewaskan Bayern 2-0) memberikan kami keyakinan tetapi kami perlu terus bekerja keras kerana kami tidak konsisten dan itu adalah kelemahan kami.

"Pada Sabtu ini (malam ini), jika kami gagal menampilkan aksi terbaik, kami akan berdepan sebuah pasukan yang sukar di Swansea. Bagi kami, Liga Juara-Juara sangat penting buat kelab dan para penyokong. Kami tidak boleh melepaskannya.

"Namun, anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam bola sepak. Kami perlu fokus pada diri sendiri. Buat masa ini, ia tidak bergantung kepada kami. Satu-satunya perkara yang perlu kami lakukan adalah memenangi semua perlawanan," kata Arteta. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan