Isnin, 11 Mac 2013

Milan tidak akan main defensif jumpa Barca

MADRID - Tonggak pertahanan AC Milan, Kevin Constant memberi amaran, gergasi Serie A itu tidak akan berkampung di kawasan sendiri dan bermain secara defensif apabila menentang Barcelona dalam perlawanan peringkat kedua Liga Juara-Juara di Camp Nou, hari ini.

Biarpun turun bersama kelebihan 2-0 yang dirakam di San Siro pada peringkat pertama, namun Constant menjangkakan pasukannya tetap berusaha menambah gol, malah percaya perlawanan pasti sengit kerana Barca turut memburu jaringan. 

"Semua fokus kami ketika ini terarah kepada perlawanan menentang Barcelona. Kami sedar, pertemuan esok (hari ini) jauh berbeza dengan peringkat pertama.

"Kami bermula dengan memegang kelebihan 2-0 tetapi kami tidak akan turun hanya untuk bertahan. Kami bermain dengan mentaliti yang betul, kalau mereka (Barcelona) bermain dengan menguasai hantaran, maka kami pula akan melakukan percubaan setiap kali mendapat bola. 

"Barcelona adalah pasukan yang hebat tetapi mereka bakal berdepan cabaran yang sukar. Kami bermain baik sejak awal musim dan kami tidak perlu gentar apabila menentang kelab terbaik di dunia," ujar Constant. 

Bek kiri Guinea itu turut menambah, dia mempunyai keyakinan tinggi bahawa Milan ada semua ramuan yang diperlukan untuk melangkah ke suku akhir. 

"Saya yakin bahawa kami menunjukkan permainan bola sepak yang bagus ketika ini dan akan melepasi halangan Barcelona. Kami kena memanfaatkan kesempatan yang ada. 

"Mereka pasti akan menyerang kami daripada pelbagai sudut dan cuba mencari gol seawal yang mungkin, tetapi kami sudah bersedia secara fizikal dan mental," katanya. 

Selepas memulakan musim dengan memecah pelbagai rekod, Barcelona mengalami kemerosotan prestasi sejak dua bulan lalu. Mereka hanya melepaskan dua mata daripada 19 perlawanan awal La Liga untuk mencipta jurang besar di takhta, namun sejak akhir-akhir ini benteng mereka melepaskan banyak gol.

Pertahanan mereka dibolosi dalam semua 13 perlawanan terakhir dan rekod buruk itu hanya berjaya dihentikan pada pertemuan dengan Deportivo La Coruna, Sabtu lalu yang menyaksikan mereka menang 2-0. 

Begitupun Milan, juara Eropah tujuh kali berdepan masalah tersendiri iaitu hilang dua tonggak akibat kecederaan, penyerang, Giampaolo Pazzini yang meninggalkan padang dalam keadaan terhincut-hincut ketika bertemu Genoa, selain pertahanan, Philippe Mexes. 

Bagi pembantu jurulatih Barcelona, Jordi Roura, biarpun kalah dalam aksi pertama, namun pasukannya menerima kunjungan Milan dengan keyakinan tinggi kerana mereka tahu apa strategi yang hendak digunakan. 

"Kami sangat jelas bagaimana kami akan bermain apabila menentang Milan nanti dan bagaimana pula permainan mereka menentang kami. Jadi, kami sudah bersedia untuk melemahkan lawan,'' kata Roura. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan