Rabu, 13 Mac 2013

Malaga yakin jinakkan Porto


MALAGA - Pemain tengah Malaga, Duda yakin pasukannya mampu memadamkan kelebihan defisit satu jaringan FC Porto dalam misi untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara- Juara.

Pemain kelahiran Portugal itu menegaskan, Malaga kini sudah bersiap sedia dan menyifatkan aksi kedua pusingan kedua kalah mati di Stadium La Rosaleda awal pagi esok merupakan perlawanan bersejarah buat kelab Sepanyol berkenaan untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan Eropah penuh prestij tersebut.

"Jurulatih, Manuel Pellegrini memiliki kesemua pemain terbaiknya dan kami akan memberikan segala-galanya untuk memastikan kami layak ke suku akhir.
"Kami tahu apa yang Malaga perlu lakukan dan kami memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri yang mana penyokong-penyokong akan bersama pasukan ini," ujar bekas pemain kelahiran Portugal itu.

Meskipun tidak pernah beraksi bersama kelab Portugal itu selepas berada di Sepanyol selama 12 musim, Duda menegaskan, dia cukup mengenali corak permainan pasukan negara kelahirannya itu.

"Ia merupakan satu perlawanan sukar. Mereka memiliki pemain hebat dan skuad yang terbaik walaupun Porto tidak memiliki beberapa pemain bintang," katanya.

Malaga kini berharap dapat mengekalkan rekod tanpa kalah di pentas Eropah ketika beraksi di laman sendiri pada musim ini untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara. - AFP

-Kosmo-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan