Sabtu, 9 Mac 2013

Cuma gantung 6 bulan


PETALING JAYA - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, terselamat daripada menerima hukuman berat apabila hanya digantung enam bulan dan didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Mengikut penjelasan Pengerusinya, Datuk Taufik Abdul Razak, Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai Tunku Mahkota Johor didapati bersalah atas dua pertuduhan yang melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Bukan sekadar itu, Johor Darul Takzim juga terpaksa membayar denda RM30,000 gara-gara tindakan penyokong membakar suar semasa perlawanan pasukan itu berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin, 2 Mac lalu.

''Jawatankuasa Tatatertib berpuas hati di atas pengakuan salah yang dibuat oleh Tunku Ismail dan digantung selama enam bulan daripada terlibat aktiviti-aktiviti bola sepak yang berkaitan dan didenda RM 10,000 bagi pertuduhan pertama kerana melanggar Artikel 88.

''Bagi pertuduhan kedua, dia mengeluarkan kenyataan yang mengkritik FAM mengenai mutu pengadilan dan beliau didenda sebanyak RM8,000 di bawah Kod Tatatertib 6.2.2.

''Semua kesalahan ini adalah paling minimum serta tidak boleh dirayu dan akan berkuat-kuasa serta merta selepas surat dikeluarkan oleh FAM, " katanya pada sidang media di Wisma FAM selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, semalam.

Semua hukuman yang dikenakan terhadap Tunku Ismail berpunca daripada kenyataan yang beliau lakukan pada 20 Februari lalu kepada media apabila mengkritik mutu pengadilan bola sepak tanah air yang disifatkan tidak berkualiti.

Apabila ditanya mengapa hukuman yang dikenakan terhadap Tunku Ismail berlainan dan lebih ringan jika dibandingkan dengan Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, Taufik mempunyai penjelasannya tersendiri.

''Ada penjelasannya mengapa hukuman berbeza antara Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang digantung dua tahun setengah berbanding Tunku Ismail.
''Annuar memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden di FAM selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kelantan (KAFA) selama dua tahun dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan.
''Manakala Shahidan yang telah lama menjadi Presiden PFA (Persatuan Bola Sepak Perlis) juga mempunyai kedudukan dalam salah satu jawatankuasa FAM dan langsung tidak membalas surat pertuduhan yang dihantar dengan mengembalikan Borang A serta B bagi tujuan pembelaan diri.

''Sedangkan Tunku Ismail telah mengaku salah di atas pertuduhan yang dikenakan selain Jawatankuasa mengambil pertimbangan yang beliau baru sahaja memegang jawatan Presiden PBNJ tidak sampai enam bulan, " katanya.

Bagi kesalahan pembakaran suar pada minit ke-84 sehingga menyebabkan perlawanan diberhentikan selama tiga minit di Larkin, Darul Takzim didenda sebanyak RM10,000.

Manakala kesalahan kedua melibatkan soal keselamatan, Jawatankuasa Tatatertib mengenakan hukuman denda RM20,000 serta amaran keras dan menjadikan jumlah denda secara keseluruhan sebanyak RM30,000.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan