Ahad, 31 Mac 2013

United kukuh cengkaman

VAN PERSIE (kanan) menjadi watak penting yang membantu kemenangan 1-0 United ke atas Sunderland di Stadium of Light semalam


SUNDERLAND, England - Manchester United semakin hampir untuk memenangi gelaran ke-20 Liga Perdana England selepas menewaskan Sunderland 1-0 di Stadium of Light malam tadi.

Kemenangan tipis itu sudah cukup untuk mengukuhkan kedudukan skuad bimbingan Alex Ferguson di persada liga dengan kelebihan 18 mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.

Pada perlawanan tersebut, Ferguson merehatkan beberapa pemain utama seperti Rio Ferdinand dan Wayne Rooney untuk memberi peluang kepada Rafael, Michael Carrick, Antonio Valencia dan Shinji Kagawa bagi persiapan menghadapi aksi ulangan suku akhir PIala FA menentang Chelsea di Stamford Bridge malam esok.

Pasukan pelawat memperoleh gol tunggal perlawanan pada minit ke-27 apabila rembatan penyerang Belanda, Robin van Persie terkena kaki pemain pertahanan Sunderland, Titus Bramble.

Bagaimanapun, kem United cemas seketika apabila kepala penjaga gol, David de Gea berlaga dengan kapten, Nemanja Vidic pada minit ke-61.

Insiden itu memaksa de Gea mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan United tetapi dia masih mampu meneruskan permainan dan menampilkan aksi yang menakjubkan terutamanya menafikan percubaan pemain gantian Sunderland, Connor Wickham.

Kemenangan itu cukup menggembirakan United terutamanya selepas para penyokong Sunderland meraikan kegagalan skuad The Red Devils memenangi trofi Liga Perdana England pada perlawanan terakhir musim lalu.

Bagi Sunderland, kekalahan itu meletakkan mereka hampir pada zon penyingkiran dan bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan yang menduduki kelompok bawahan.

Sementara itu, United berpeluang untuk memperbaharui rekod Chelsea yang mengutip mata paling banyak dalam satu musim pada tahun 2004-05 iaitu 95 mata ketika menjadi juara.
Ketika ini, United sudah mengumpul 77 mata daripada 30 perlawanan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan