Jumaat, 29 Mac 2013

Ferguson pertahan Ferdinand


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mempertahankan tindakan pemain pertahanan, Rio Ferdinand (gambar) untuk menarik diri daripada menyertai skuad kebangsaan England baru-baru ini.

Pemain pertahanan tengah itu yang tidak beraksi di pentas antarabangsa sejak dua tahun lalu kembali disenaraikan jurulatih skuad The Three Lions, Roy Hodgson bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro.

Bagaimanapun, bekas pemain Leeds United itu menarik diri daripada menyertai pasukan kebangsaan atas faktor kecederaan.

Dia turut mencetuskan kontroversi apabila terbang ke Qatar untuk memberikan liputan perlawanan England menentang San Marino sebagai panel jemputan televisyen.

Ferdinand dilaporkan masih berminat untuk beraksi bersama skuad The Three Lions namun enggan berbuat demikian selepas mendengar ejekan dari penyokong-penyokong fanatik ketika menyaksikan skuad kendalian Hodgson membelasah San Marino 8-0 pada Jumaat lalu. 

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan menyiasat ejekan berbentuk sorakan yang berunsurkan perkauman yang ditujukan kepada Ferdinand atau adiknya, Anton yang beraksi bersama Queens Park Rangers (QPR).

Ferguson yakin bintang United itu akan menangani situasi tersebut dengan baik dan beliau tidak kisah pemain veteran itu terbang ke Qatar.

"Saya berpendapat Ferdinand melakukan perkara yang betul dengan menarik diri dari skuad England selepas bertemu dengan Hodgson dan saya yang menggalakkan dia berbuat demikian," kata Ferguson.

"Saya jangkakan dia bersemuka dengan Hodgson untuk membuat penjelasan. Apa yang saya tahu, Hodgson tidak mempunyai masalah bersama Ferdinand selepas beliau mendengar penjelasan itu.

"Mengenai isu Ferdinand ke Doha, ia langsung tidak menganggu saya.
"Pemain-pemain United diberikan tiga hari cuti (Jumaat, Sabtu dan Ahad lalu) dan ketika itu, berlangsung perlawanan antarabangsa. Jadi, dia berhak untuk melakukan apa yang dia mahu," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan