Isnin, 18 Mac 2013

Miyazato kukuh kedudukan pendahulu



MIYAZATO selesa mendahului dengan kelebihan empat pukulan selepas mengharungi tiga pusingan.


PHOENIX, Arizona - Ai Miyazato mencatat lima bawah par 67 untuk mendahului dengan kelebihan empat pukulan selepas selesai aksi pusingan ketiga Kejohanan Golf LPGA Piala Founders kelmarin.

Pemain dari Jepun itu yang memburu gelaran LPGA ke-10 dalam kariernya, menamatkan pusingan 54 lubang tersebut dengan catatan keseluruhan 19 di bawah 197 pukulan bersama-sama pemain Amerika Syarikat, Stacy Lewis yang berpotensi merampas status pemain No. 1 dunia sekiranya menjuarai kejohanan ini.

Lewis pula yang mencatat 66 pukulan, bagaimanapun dikenakan penalti dua pukulan selepas kedinya, Travis Wilson melanggar peraturan dengan memeriksa permukaan pasir pada lubang ke-16 par empat.

Situasi itu menyaksikan catatan par pada lubang berkenaan ditukar kepada double bogey, sekali gus menyaksikan dia mengumpul 68 pukulan pada aksi kelmarin, dan kini semakin ketinggalan di belakang Miyazato ketika memasuki 18 lubang terakhir.

Beraksi sebagai pemain No. 3 dunia, Lewis perlu menjuarai kejohanan ini sekiranya mahu merampas status sebagai pemain No. 1 dunia daripada Yani Tseng, juara bertahan dari Taiwan yang gagal beraksi cemerlang dengan berada di tangga ke-63 setelah mengumpul 214 pukulan selepas menamatkan 54 lubang.

Selama dua hari berturut-turut, Miyazato mencatat tiga birdie pada empat lubang par lima, kali ini pada lubang kedua, kelima dan ke-15.

Dia juga melakukan dua birdie berturut-turut pada par empat lubang ke-12 dan 13.
Lewis juga mencatat dua birdie berturut-turut pada lubang kedua dan ketiga sebelum menambah satu lagi birdie pada par empat lubang ketujuh.

Dia kemudian memulakan saingan sembilan lubang terakhir dengan mencatat dua birdie berturut-turut sebelum dikenakan penalti dua pukulan.

Pemain Korea Selatan, Lee Jee Young pula di kedudukan ketiga dengan catatan keseluruhan 201 pukulan.
Anna Nordqvist dari Sweden pula berkongsi tangga keempat dengan 203 pukulan bersama-sama trio Amerika, Angela Stanford, Lizette Salas dan Gerina Piller. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan