Jumaat, 29 Mac 2013

Kay Kim dijemput ke Wisma FAM


“JIKA berminat dengan bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk menjemput Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menghadiri satu taklimat di Wisma FAM Kelana Jaya.”

Demikian respons Setiausaha FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengenai pandangan Kay Kim yang menyifatkan persatuan bola sepak negara itu dilihat ‘hilang’ arah tuju dalam pembangunan bola sepak tempatan.
Azzuddin memberitahu, FAM bersedia untuk bersemuka dengan Kay Kim bagi menjelaskan mengenai sistem pengurusan FAM.

Jelasnya, beliau menganggap pendekatan tersebut lebih ideal berbanding ‘menyerang’ FAM tanpa usul periksa.

“Saya menghormati Kay Kim sebagai pengkritik sukan dan tokoh sejarah. Saya berpendapat isu ini dapat diselesaikan sekiranya Kay Kim datang ke Wisma FAM dan mendengar penjelasan mengenai sistem kami.

“Justeru, FAM berbesar hati untuk menjemput Kay Kim menghadiri satu taklimat mengenai bola sepak.

“Saya berharap beliau akan dapat memberikan komen-komen lebih membina selepas ini sekiranya menghadiri taklimat yang disediakan khas untuknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Akhbar tempatan semalam melaporkan Kay Kim menasihati FAM supaya tidak terlalu ‘kejam’ untuk menghukum individu-individu yang menegur sistem pengurusan FAM bagi memartabatkan bola sepak negara.

Sementara itu, Azzuddin turut mengulas lanjut mengenai pihak-pihak yang mendakwa FAM merupakan persatuan yang ‘kejam’ selepas bertindak untuk menyiasat ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Rajagobal didakwa melanggar Artikel 88 Statut FAM apabila dikatakan mengkritik Liga Malaysia (Liga M) dengan mengeluarkan kenyataan skuad negara tiada penyerang semula jadi akibat lambakan penyerang import dalam saingan domestik pada 17 Mac lalu.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan itu sebaik Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Arab Saudi dalam satu aksi pemanas badan di Stadium Shah Alam.

“Kenapa mesti salahkan FAM (berhubung kes Rajagobal)? Sedangkan komuniti (Jawatankuasa) Tatatertib FAM merupakan badan bebas yang langsung tidak melibatkan ahli-ahli FAM. 

“Kepada pengkritik-pengkritik di luar sana, usah bercakap jika anda tidak mengetahui perkara sebenar dan mereka (Jawatankuasa Tatatertib FAM) hanya menjalankan tanggungjawab mereka. Sekiranya tiada kes, maka Rajagobal tidak akan dikenakan sebarang hukuman,” katanya

Dalam perkembangan lain, Azzuddin tidak berminat untuk melayan desakan satu gerakan penyokong bola sepak tempatan yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)’ untuk memberikan maklum balas mengenai lima permasalahan yang dikemukakan sejak tiga bulan lalu.

“Siapakah mereka (PFSLJ)? Apa yang mereka hendak tahu mengenai FAM? Mereka boleh bercakap apa sahaja tetapi pihak kami tidak akan memberikan sebarang maklum balas.

“Saya tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul tetapi mereka mendapatkan maklumat-maklumat dari ahli atau bekas pegawai FAM yang sering mengambil kesempatan terhadap badan induk ini,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, PFSLJ telah mengemukakan lima permasalahan kepada FAM sejak tiga bulan lalu namun tiada sebarang respons.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan