Rabu, 13 Mac 2013

FAM lali dilanda kontroversi



HAMIDIN (tengah) memberikan penjelasan kepada pihak media selepas mempengerusikan JKPT FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah sudah lali dilanda kontroversi.

Keputusan badan induk itu memperkenalkan peraturan yang buat julung-julung kalinya membenarkan tiga pemain tempatan menyertai pasukan lain sebaik pendaftaran pemain dibuka semula April depan pastinya mengundang polemik baharu dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.

Biarpun Peraturan Am 4.5.5 Liga Malaysia (2013-2016) hanya membenarkan tiga pemain berkenaan berhijrah jika mendapat 'lampu hijau' daripada majikan asal, masa depan pemain tertentu, terutamanya yang gagal mencapai prestasi memberangsangkan seolah-olah berada 'di hujung tanduk' sekiranya dijual kepada mana-mana pasukan.

Begitupun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berharap peraturan baharu itu dilihat dari sudut positif.

Hamidin berkata, peraturan itu memberikan peluang sama rata kepada pasukan bagi menggantikan pemain yang cedera atau gagal mencapai aksi terbaik ketika pendaftaran pemain dibuka pada 8 hingga 22 April depan.

"Setiap pasukan hanya dibenarkan mendaftar tiga pemain tempatan baharu sama ada secara pinjaman atau pendaftaran baharu dengan syarat pemain itu mendapat pelepasan daripada pasukan asal.

"Selain itu, peraturan baharu ini turut merangkumi dua pemain import baharu seperti mana musim sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Timbalan JKPT, Datuk Affendi Hamzah.

Hamidin memberitahu, peraturan baharu itu tidak bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selain pihaknya juga tidak menolak kemungkinan menggubal semula peraturan berkenaan supaya mana-mana pasukan boleh merombak sepenuhnya pasukan masing-masing pada masa akan datang seperti mana Liga Perdana England.

Kelima-lima pemain baharu yang bakal didaftarkan itu juga tidak mempunyai tempoh menunggu dan dibenarkan beraksi sebaik permohonan diluluskan.

"Ketika ini, kami masih belum menerima permohonan daripada mana-mana pasukan berhubung pendaftaran pemain baharu tersebut.
"Bagi pemain import baharu, setiap pasukan perlu mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) seperti biasa manakala bagi pemain tempatan, setiap permohonan akan ditolak sekiranya gagal mendapat pelepasan majikan asal," jelasnya.

Sementara itu, Hamidin turut mengesahkan aksi persahabatan antarabangsa antara Harimau Malaya dan Singapura yang akan diadakan secara timbal balik pada 4 dan 7 Jun depan.

"Aksi playoff Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai juga bakal bermula pukul 9.45 malam bagi menghormati Ramadan.

"Aksi itu membabitkan pertemuan antara pasukan tercorot Liga Super bertemu pasukan kelima Liga Premier manakala pasukan ke-11 Liga Super bakal berdepan pasukan keenam Liga Premier," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan