Sabtu, 16 Mac 2013

Ferdinand dalam dilema


LONDON - Rio Ferdinand dalam dilema selepas dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan England pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang San Marino dan Montenegro.

Ferdinand, 34, dilaporkan sedang menimbangkan keputusan untuk bersara di pentas antarabangsa, sekali gus menolak tawaran bagi menyertai skuad The Three Lions.

Pemain pertahanan Manchester United itu disenaraikan semula dalam skuad England buat pertama kalinya sejak jurulatih Roy Hodgson menggantikan Fabio Capello tahun lepas.

Dia bakal membuat penampilan ke-81 di pentas antarabangsa sekiranya menerima tawaran itu.

Begitupun, Ferdinand mungkin menolak tawaran tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan United yang mendakwa tekanan beraksi bersama kelab dan negara boleh menyebabkan kecederaan belakangnya berulang.

Pengurus United, Alex Ferguson dan Ferdinand sedang dalam perbincangan dengan pegawai perubatan skuad The Red Devils bagi melihat latihan yang sesuai untuk diberikan kepada pemain itu sekiranya dia menyertai England.

Ferdinand mengakui, berlatih dan beraksi dengan England tanpa kehadiran doktor pakar mungkin memberi risiko kecederaan yang mampu menamatkan kariernya.

Ferguson pula sudah pasti mahu pemain itu memberi tumpuan kepada kelabnya.
"Kami perlu memastikan yang dia (Ferdinand) pulih sepenuhnya dari aspek kecergasan. 

"Kami telah melakukan pemeriksaan ke atasnya sejak dua minggu lalu dan nampaknya ia memberi kesan. Kami perlu lihat kepada semua perkara ini sebelum dia membuat keputusan," kata Ferguson.

Ferdinand dikatakan mula menerima tekanan daripada pegawai perubatan dan pengurus United itu untuk menolak panggilan menyertai skuad England.

Sekiranya Ferdinand menyertai skuad The Three Lions, ia akan mencetuskan kemarahan Ferguson dan pada masa yang sama, dia mahu menyambung kontrak bersama United.

Bagaimanapun, jika menolak panggilan Hodgson, dia mungkin tidak akan dipanggil untuk selama-lamanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan