Isnin, 11 Mac 2013

Safiq nafi wujud pertelingkahan dalam kem Johor

PETALING JAYA - Pemain tengah Johor Darul Takzim, Safiq Rahim semalam menafikan kononnya berlaku pergaduhan antara pemain dalam bilik persalinan Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Safiq mengakui terkejut dengan laporan media, kelmarin yang turut mengaitkan namanya dalam dakwaan itu selepas pasukan Johor tewas 1-4 kepada Selangor dalam aksi Liga Super.

“Memang seluruh pasukan berasa kecewa selepas kami tewas besar dalam perlawanan tersebut tetapi saya nafi dan tidak mahu selindung apa-apa tentang apa yang berlaku," katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan pertama pasukan kebangsaan di sini, semalam. 

Malaysia akan menentang Arab Saudi dalam aksi persahabatan pada 17 Mac ini sebelum melayan Yemen dalam kelayakan Piala Asia 2015 pada 22 Mac dan perlawanan amal dengan Palestin, empat hari kemudian.

“Apa yang berlaku adalah di antara kita-kita (pemain) sahaja, apabila prestasi tidak bagus sudah pasti semua akan berasa kecewa termasuk saya. Bagaimanapun semua pemain tetap bersatu walaupun menang atau kalah, kami sentiasa bersama-sama mengharunginya,’’ ujarnya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan bilik persalinan pasukan tersebut kecoh ketika wartawan sedang menemuramah jurulatih kedua-dua pasukan sebaik tamat perlawanan.

Jeritan ‘Safiq’ kedengaran dari luar bilik persalinan ketika jurulatih mereka, Fandi Ahmad meluru masuk ke dalam bilik persalinan selepas dipanggil oleh seorang pegawai.

Bekas pemain Selangor dan ketua pasukan kebangsaan itu berkata, hubungan seluruh pasukan sentiasa kukuh dan menolak dakwaan berlaku situasi berpuak-puak antara pemain berstatus bintang dengan pemain lain.

“Kami semua setaraf, tidak ada layanan istimewa baik pemain bintang atau pemain lain, semuanya mendapat perhatian yang sama rata. Kalah atau menang kami tetap bersama dan terus fokus dalam pasukan ini.

“Kerjasama perlu antara satu sama lain untuk memperbaiki segala kelemahan, terutama menjelang baki perlawanan pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan