Isnin, 18 Mac 2013

Falcao kini bernilai hampir RM250j


NILAI Falcao terus meningkat dari sehari ke sehari berikutan perebutan sengit antara kelab gergasi Eropah.


LONDON - Manchester City bakal mengatasi rekod perpindahan termahal Britain apabila sanggup berbelanja £52 juta (RM245.2 juta) bagi mendapatkan khidmat Radamel Falcao.
The Citizens yakin mereka akan dapat memancing penyerang Atletico Madrid itu yang turut menarik minat Real Madrid.

Falcao, 27, dipercayai mempunyai harga penebusan kontrak sebanyak 60 juta euro (RM244.8 juta) di mana Real dikhabarkan enggan memenuhi harga tersebut, City percaya mereka mampu mengatasi Chelsea dalam perebutan ke atas penyerang Colombia ini.

Pemain itu juga dikatakan mampu memancing jurulatih Real, Jose Mourinho ke Stadium Etihad setelah spekulasi mula tersebar bahawa The Special One akan meninggalkan Bernabeu pada musim panas nanti.
Mourinho dan Falcao juga diwakili oleh ejen yang sama, Jorge Mendes dan kedua-duanya berpotensi menyertai City meskipun masa depan pengurus Roberto Mancini masih belum diputuskan.

Penyerang City, Edin Dzeko juga mungkin akan menyertai Atletico sebagai pertukaran manakala Real pula mengalihkan tumpuan mereka ke atas Sergio Aguero.

Atletico memang sedar mengenai minat City ke atas Falcao dan merancang untuk menggunakan perjanjian pertukaran itu bagi membawa Dzeko ke Liga Sepanyol. 

Jendela perpindahan musim panas nanti juga bakal menyaksikan pertukaran pemain penyerang besar-besaran dengan Real turut menjadikan Aguero yang tidak beraksi ketika City tumpas 0-2 kepada Everton, kelmarin sebagai buruan utama mereka.

Penyerang Real, Gonzalo Higuain juga telah mendedahkan bahawa dia mahu berhijrah ke Liga Perdana England selepas berada di belakang Karim Benzema.

Satu perbincangan telah diadakan antara wakil Aguero dan Real minggu lalu.
Walaupun penyokong City mungkin tidak mahu melihat Aguero pergi, namun prospek kehadiran Falcao dan Higuain sudah tentu dapat memujuk hati mereka.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone juga dikatakan amat meminati Dzeko dan hubungan antara kelab itu dan City juga amat baik selepas menjual Aguero pada 2011 dengan harga £38 juta (RM179.2 j). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan