Sabtu, 9 Mac 2013

Tok Gajah tumbang

KUANTAN - Rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah di stadium sendiri lebur apabila tewas kepada PKNS 3-1 pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.
Pada minit ke-16, PKNS dihadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol Pahang, Rosfaizul Azuar menjatuhkan pemain lawan, Patrick Ronaldinho.

Namun, sepakan itu gagal disempurnakan Ronaldinho apabila bola tendangannya melepasi palang gol.
Pada minit ke-25, skuad Tok Gajah berjaya mendahului apabila hantaran lintang Mohd. Fauzi Rozlan disambar R. Gopinathan yang merembat menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd. Remezey Che Ros.

Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan dan pada minit ke-55, salah faham antara penjaga gol Pahang, Rosfaizul dan pemain pertahanan , Razman Roslan menyebabkan PKNS berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Ronaldinho.

Pada minit ke-65, skuad Tok Gajah dikejutkan dengan gol kedua pelawat hasil jaringan Mohd. Nizad Ayub yang pantas menyambar hantaran Ronaldinho dan hanya melakukan tolakan mudah bagi menewaskan Rosfaizul.

PKNS bagaimanapun meneruskan aksi dengan 10 pemain selepas Es Lizuan Zahir diperintah keluar padang oleh pengadil, Samsuddin Ibrahim pada minit ke-83 kerana melengah-lengahkan permainan.
Biarpun tambahan masa lima minit diberi Samsuddin, Pahang gagal menggunakan kesempatan itu untuk menyamakan kedudukan.

Sebaliknya, PKNS menambah gol ketiga hasil jaringan Ronaldinho di minit ke-90.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan