Rabu, 13 Mac 2013

'Saya akan cuba lagi'



CHONG WEI tidak akan beraksi dalam saingan Piala Axiata 2013 di Jakarta, Indonesia bulan depan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei bertekad untuk menebus kekecewaan pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Seluruh England.

Pemain No. 1 dunia itu turut gagal melakar hatrik selepas tewas kepada pemain muda dari China, Cheng Long 17-21, 18-21 pada final di Birmingham Indoor Arena, England.

Meskipun gagal mempertahankan gelaran juara bagi acara perseorangan lelaki selepas melakukannya pada edisi 2011 dan 2010, Chong Wei tetap optimis untuk terus memburu kejayaan lain bagi menebus kekecewaan itu.

Chong Wei mengakui yang dia sangat kecewa dengan kegagalan itu, terutamanya selepas berusaha bersungguh-sungguh untuk menundukkan pemain berusia 24 tahun itu.

"Hari itu (Sabtu) milik Cheng Long, bukan hari saya. Dia turun ke gelanggang dengan keyakinan yang luar biasa.

"Saya mengakui mutu permainannya lebih baik berbanding sebelum ini," kata Chong Wei kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Sementara itu, Chong Wei mengesahkan tidak akan beraksi dalam saingan Piala Axiata 2013 di Jakarta, Indonesia bulan depan kerana ingin memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi beberapa kejohanan lain.

"Saya akan berehat dua atau tiga hari sebelum memulakan latihan bagi menghadapi Terbuka Australia di Sydney awal April depan sebelum beraksi pada Terbuka Indonesia, September nanti," katanya.

Pada masa yang sama, Chong Wei mendesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengkaji segera kelemahan skuad badminton negara pada Seluruh England dan segera membetulkannya.

Chong Wei berkata, dia juga akan melakukan perbincangan bersama jurulatihnya, Tey Seu Bock bagi mengenal pasti punca prestasi kurang memberangsangkan pasukan badminton negara.

Hanya Chong Wei menjadi wakil tunggal negara yang layak ke final manakala tiga lagi pemain perseorangan iaitu Tan Chun Seang, Liew Daren dan Chong Feng tewas kepada lawan masing-masing pada perlawanan pertama. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan