Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan

Ahad, 15 Disember 2013

Harimau belum selesa


BARISAN pemain Harimau Muda melambaikan tangan ke arah penyokong selepas tamat perlawanan menentang Singapura di Stadium Zeyyer Thiri semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Harimau Muda memilih laluan sukar untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas seri 1-1 dengan Singapura pada aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Zeyyer Thiri semalam.

Keputusan seri itu menyebabkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh kalah kepada Vietnam pada aksi terakhir esok.

Ketika ini, Singapura berjaya mengumpul lapan mata untuk memimpin kedudukan teratas, manakala Harimau Muda yang kurang satu perlawanan di tempat kedua dengan tujuh mata.

"Pemain-pemain sudah bermain bersungguh-sungguh. Meskipun kami gagal mengutip tiga mata penuh, saya tetap berpuas hati kerana berjaya memperoleh satu mata.

"Kami tidak bermain untuk seri dan bertahan sepanjang masa tetapi kami tetap melancarkan serangan yang bertali arus. 

"Namun, nasib tidak menyebelahi kami meskipun kami memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan lebih banyak gol.

"Seperti mana yang kita tahu, Singapura adalah sebuah pasukan yang kuat terutamanya ketika dalam situasi bola mati. Mereka berjaya mendapatkan sepakan percuma dan situasi itu yang menyebabkan kami kehilangan dua mata," kata Kim Swee.

Kim Swee berkata, beliau akan memikirkan strategi yang lebih ampuh untuk menghadapi perlawanan hidup mati menentang Vietnam.

Pada aksi semalam, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan yang agak keras dan saling melancarkan serangan balas yang pantas dalam usaha memburu gol.

Empat kad kuning dilayangkan kepada pemain Harimau Muda iaitu Mohd. Zubir Mohd. Azmi, Shahrul Mohd. Saad, K. Reuben dan Mohd. Nasir Basharudin manakala satu kepada pemain Singapura, Muhammad Afiq Yunos.

Afiq menyumbat masuk gol pertama Singapura pada minit ke-60.

Tersentak dengan jaringan itu, Kim Swee melakukan pertukaran strategi dengan mengeluarkan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri untuk digantikan dengan Mohd. Rozaimi Ab. Rahman pada minit ke-67.

Empat minit kemudian, pemain sayap kanan, A. Thamil Arasu pula dikeluarkan bagi memberi peluang kepada arkitek muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Rozaimi membuktikan kehebatannya apabila meledak gol penyamaan menerusi satu sepakan percuma yang cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-90.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Vietnam membelasah Laos 5-0.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 9 Disember 2013

'Elak lakukan kesilapan'



KIM SWEE (tiga dari kiri) merancang strategi bagi menghadapi Brunei hari ini ketika sesi latihan Harimau Muda di Stadium Zayar Thiri, Nay Pyi Taw petang semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar - Skuad bola sepak Brunei bukan lawan sebenar Harimau Muda.
Bagaimanapun, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh memandang rendah kemampuan Brunei apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi sulung Kumpulan B di Stadium Zeyer Thiri petang ini.

Memenangi perlawanan pertama sangat penting buat Harimau Muda yang tampil dengan misi mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013.

Kemenangan akan menyuntik moral pemain-pemain negara, manakala kekalahan bakal menyukarkan laluan mereka untuk memburu pingat emas hatrik pada edisi ke-27 temasya dwitahunan itu.

Harimau Muda perlu menjadikan aksi menentang Brunei sebagai medan untuk menguji kemampuan sebenar kerana selepas itu mereka perlu berdepan lawan yang lebih sukar iaitu Vietnam, Singapura dan Laos pada aksi peringkat kumpulan.

Skuad negara perlu mengikut jejak langkah Vietnam yang berjaya membelasah Brunei 7-0 pada aksi pembukaan Kumpulan B kelmarin.

Meskipun Singapura dan Laos sekadar seri 1-1 dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, keputusan itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan kedua-dua pasukan tersebut.

Harimau Muda juga perlu mencatat kemenangan besar ke atas Brunei bagi memberikan 'amaran awal' kepada Myanmar dan Thailand yang memulakan kempen kali ini dengan langkah kanan.

Tuan rumah, Myanmar menewaskan Kemboja 3-0, manakala Thailand menang 3-1 ke atas Timor Leste pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu memandang rendah keupayaan Brunei dan terlampau yakin bahawa mereka mampu merekodkan kemenangan besar seperti mana yang dilakukan Vietnam.

"Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh, kami akan melakukannya. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

"Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

"Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri," kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Zayyar Thiri petang semalam.

Bagaimanapun, Harimau Muda perlu belajar daripada kesilapan yang dilakukan dalam dua edisi lalu.
Pada aksi di Laos empat tahun lalu, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua di belakang Vietnam.

Harimau Muda menewaskan pasukan tuan rumah 3-1 pada aksi separuh akhir sebelum memerlukan jaringan sendiri pemain Vietnam untuk melakar kemenangan 1-0.

Selain muncul juara dan memenangi gelaran kelima, kejayaan itu turut menamatkan penantian selama 20 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas pada Sukan SEA.

Dua tahun kemudian, Harimau Muda yang dibimbing Kim Swee menamatkan saingan dalam Kumpulan A di depan pasukan tuan rumah, Indonesia.

Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir sebelum mengecewakan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang tempoh permainan sebenar.

Bagaimanapun, Harimau Muda memiliki kelebihan pada edisi kali ini.

Selain mempunyai pengalaman menjadi juara sebanyak dua kali berturut-turut, skuad negara juga bakal diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu Malaysia memenangi pingat emas di Jakarta dua tahun lalu.

Khidmat penyerang Selangor, A. Thamil Arasu dan enam pemain lain iaitu Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah) ditagih merealisasikan misi memburu 'ibu emas' Sukan SEA 2013, sekali gus melakar kemenangan hatrik.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 8 Disember 2013

Jangan takut dengan lawan



KIM SWEE (kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya ketika menjalani latihan di Stadium Kelab Bola Sepak Nay Pyi Taw semalam.


NAY PYI TAW, Myanmar – Pengendali skuad bola sepak Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee memberikan amaran keras kepada anak-anak buahnya menjelang aksi sulung Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Zayyar Thiri petang esok.

Kim Swee berkata, para pemain perlu menghormati pasukan lawan dan bukannya takut kepada mereka.

Selain itu, mereka juga tidak boleh menganggap Brunei sebagai lawan yang lemah, sekali gus bercita-cita untuk meledakkan jaringan yang besar pada perlawanan tersebut.

“Pemain-pemain nampak begitu baik sekali. Kami telah melakukan beberapa corak latihan dan saya dapati mereka berada dalam keadaan yang cergas serta bersemangat. Jadi, saya mahu teruskan momentum itu sebelum menghadapi perlawanan pertama.

“Tidak semestinya kami perlu menjaringkan gol yang banyak tetapi kalau kami boleh melakukan, kami akan lakukan. Pada masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

“Kalau kami turun padang dengan sasaran untuk menjaringkan gol yang banyak, saya takut pemain-pemain akan hilang fokus dan tercari-cari gol yang diperlukan.

“Apa yang penting, kami perlu hormati pasukan lawan dan bukan takut kepada mereka. Kami perlu bermain mengikut strategi sendiri,” kata Kim Swee selepas mengendalikan sesi latihan pasukan di Stadium Kelab Bola Sepak Nay Pyi Taw semalam.

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya itu berkata, beliau hanya akan merangka strategi selepas menyaksikan perlawanan pertama semua pasukan dalam kumpulan tersebut.
“Setelah saya menyaksikan permainan mereka, baru saya boleh buat strategi. Selagi belum lihat bagaimana corak permainan semua pasukan, saya tidak boleh rangka sebarang strategi.
“Sangat penting untuk melihat perlawanan mereka. Bukan sahaja saya perlu membuat penilaian, para pemain juga perlu tengok bagi membolehkan mereka mencari kelemahan dan kekuatan pemain lawan.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak menganggap jadual perlawanan Harimau Muda sebagai satu kelebihan kerana apa yang lebih penting adalah percaturan corak latihan dan proses pemulihan yang betul.
Ketika ditanya mengenai pemain yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan itu, Kim Swee berkata, beliau hanya akan membuat keputusan sebelum perlawanan bermula.

Pada edisi ke-27 temasya dwitahunan ini, Harimau Muda akan diperkuatkan dengan tujuh pemain yang membantu pasukan itu memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Selain A. Thamil Arasu, enam lagi pemain tersebut ialah Mohd. Izham Tarmizi Roslan (penjaga gol), Izzaq Faris (penyerang), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (tengah), Mohd. Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Mohd. Zubir Mohd. Azmi (pertahanan) dan Mohd. Irfan Fazail (tengah).

“Tidak semestinya kesemua pemain ini akan berada dalam skuad utama. Oleh sebab itu, perlawanan pertama sangat penting. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, saya akan kekal dengan strategi asal.

“Namun, jika sebaliknya, saya akan membuat sedikit bertukaran strategi,” kata Kim Swee.
Pada aksi sulung Kumpulan B kelmarin, Timor-Leste tewas 1-3 kepada Thailand, manakala Myanmar membelasah Kemboja 3-0 di Stadium Thuwunna, Yangon.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 6 Disember 2013

KJ: Kita harus garang di Myanmar


KONTINJEN negara bergambar kenangan dengan Khairy (tengah barisan belakang) selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Bukit Jalil semalam.


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu kontinjen Malaysia terus garang dan jangan mudah mengaku kalah walaupun berdepan cabaran sengit untuk meraih pingat di Sukan SEA Myanmar nanti.

Menurut beliau, persembahan atlet negara pada temasya dwitahunan itu yang membuka tirai pada 11 hingga 22 Disember turut membawa bersama harapan 28 juta penduduk Malaysia. 

"Saya harap, biarlah ketika pasukan lain meninggalkan kolam atau arena pertandingan, mereka akan ingat bahawa mereka telah berdepan atlet terbaik negara di Sukan SEA. 

"Bukan sahaja akan ingat atlet kita yang berjaya meraih pingat tetapi mempunyai semangat dan tahap disiplin yang tinggi," kata Khairy selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam. 

Tidak mahu terlalu meletakkan tekanan yang tinggi untuk mencapai sasaran 40 pingat emas, Khairy percaya 556 atlet yang bertanding sudah 100 peratus bersedia untuk bertempur.

"Dengan latihan yang dilalui sepanjang masa serta penyertaan di kejohanan bertaraf antarabangsa yang lain, saya yakin para atlet telah bersedia untuk berjuang di Myanmar.

"Saya juga yakin, mereka akan dapat melakukan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Selagi mereka tidak berputus asa, pingat akan menjadi milik mereka," kata Khairy.

Khairy juga percaya, urusan kontinjen negara sepanjang berada di Nay Pyi Taw, Yangon, Mandalay dan pantai Ngawe Saung akan berjalan dengan lancar di bawah kepimpinan Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Wira Amiruddin Embi.

"Saya berharap tiada masalah besar akan timbul sepanjang kontinjen negara berada di sana. Sekali pun ada, saya percaya ia akan ditangani dengan baik kerana pegawai yang dihantar termasuk pegawai perubatan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing," jelas Khairy. 

Dalam pada itu, pembawa bendera negara, Sazali Abdul Samad optimis atlet negara dapat melakukan yang terbaik dan akan bekerja keras untuk membawa pulang pingat. 

"Sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara masing-masing. Kita tidak mahu balik dengan tangan kosong walaupun tahu, tugasan di Myanmar tidak semudah yang dijangka," kata jaguh bina badan negara itu

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Selasa, 3 Disember 2013

Sabah mahu Rozaimi kembali


SABAH akan berusaha mendapatkan semula khidmat penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman bagi mengharungi saingan Liga Premier musim depan. 

Kehadiran anak kelahiran Bongawan ini pasti dinantikan penyokong setia Sabah dalam mengembalikan kembali kehebatan skuad Badak itu. 

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Joehari Ayob berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan khidmat Rozaimi selepas berakhirnya temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung bulan ini. 

"Dia (Rozaimi) akan kembali dan menyertai rakan-rakan sepasukannya selepas tamat Sukan SEA.
"Sememangnya, kita amat menantikan kehadirannya yang dijangka mampu meningkatkan semangat pemain-pemain lain," kata Joehari di Kota Kinabalu semalam. 

Sementara itu, Rozaimi berkata, dia belum membuat sebarang keputusan, sama ada kembali menyertai Sabah atau kekal bersama skuad Harimau Muda A.

"Ya, saya ada mendengar tetapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum berikan sebarang kata dua dengan saya secara rasmi... mungkin selepas Sukan SEA nanti," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!

Untuk rekod, Sabah telah mengikat kontrak dengan lima pemain baharu termasuk dua bekas pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) - Redzuan Nawi dan Ezaidy Khadir.

Tiga pemain yang lain yang akan memperkuatkan Sabah adalah bekas pemain tengah Sime Darby FC, Hasmarul Fadzir Hassan, Fazli Paat (Johor) dan A. Varathan (ATM).

Sabah juga akan diperkuat dengan kehadiran tiga awang import - Altin Grbovic dari Serbia, Srecko Mitrovic (Australia) serta Predrag Pocuca (Croatia). 

Joehari berkata, barisan pemain Sabah hampir dimuktamadkan dengan terbaharu, bekas pemain skuad Piala Presiden, Rexjeson Pitrus dari Keningau merupakan pemain tempatan diambil oleh SAFA. 

"Keputusan muktamad akan dilakukan selepas siri perlawanan pramusim di Malang, Jawa Timur, Indonesia. 

"Sasaran utama kita adalah tahun depan adalah untuk menduduki sekurang-kurangnya dua teratas Liga Premier serta layak ke Piala Malaysia," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Kelantan buat kejutan cuba dapatkan Afiq

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor 
Berita Harian
 
Kota Bharu: Kelantan sekali lagi bakal membuat kejutan apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan sedang berusaha mendapatkan khidmat bekas pemain pinjaman The Red Warriors (TRW) musim lalu, Mohd Afiq Azmi bagi memantapkan pasukan musim depan.

Difahamkan, nama penyerang Selangor itu sudah disenarai pendek dalam skuad TRW bagi mengisi kekosongan pemain ke-25 TRW yang masih menjadi tanda tanya.
Sekiranya khabar angin itu benar, ia pasti menjadi kejutan kedua buat TRW selepas kejutan pertama ketika sesi pengenalan pemain TRW 2014 minggu lalu apabila bekas pemain import Kelantan musim lalu, Mohamed Ghaddar kembali menyarung jersi pasukan itu untuk musim depan.


Dalam radar

Menurut sumber dalaman KAFA, Mohd Afiq memang berada dalam radar Kelantan bagi memantapkan jentera serangan TRW selepas ramai tonggak utama berpindah ke pasukan lain.

“Sebelum ini memang Selangor ada menawarkan pemainnya untuk Kelantan. KAFA ada membuat rundingan dengan seorang pemain mereka (Selangor) dan besar kemungkinan (Mohd) Afiq.

“Sejauh mana rundingan itu berjalan saya tidak tahu kerana urusan pemilihan barisan pemain TRW terletak di tangan pengurusan tertinggi TRW dan sukar untuk saya mengesahkannya,” katanya.

Kim Swee tidak mahu ada 'penumpang' dalam pasukan

 
Berita Harian
 
Kuala Lumpur: "Saya tidak mahu ada penumpang dalam pasukan ini," kata Ketua Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dalam membuat pemilihan barisan terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut di Myanmar 2013.

Pengendali dari Melaka itu juga mengingatkan pemain yang pernah beraksi di Jakarta dua tahun lalu supaya tidak mengambil mudah betapa tempat mereka sudah terjamin.
Malah, beliau menegaskan aksi menentang kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, esok menjadi medan terakhir untuk setiap pemain membuktikan kemampuan sebenar.


“Ini satu perlawanan yang begitu baik buat kami. Peluang buat mereka membuktikan sesuatu untuk terpilih ke Myanmar nanti.

Latihan lebih awal

“Semuanya terpulang kepada keinginan pemain itu sendiri. Kalau mereka tidak ambil peluang ini, mereka akan kena tinggal. Walaupun dua tahun lalu mereka ada dalam pasukan, itu bukan jaminan untuk sekali lagi terpilih,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain FC Ryukyu, Harimau Muda juga mengadakan perlawanan pemanas badan menjelang temasya itu dengan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT 11) yang berkesudahan seri 0-0, minggu lalu.
Sementara itu, Kim Swee mengambil inisiatif menjalani latihan lebih awal di bawah cuaca panas bagi membiasakan pemain dengan keadaan di Myanmar yang menyaksikan Malaysia dijadualkan beraksi pada sebelah petang.

“Kami cuba menjalani latihan pada sebelah petang lebih awal sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Myanmar nanti.

“Namun hari ini (semalam) cuaca tidak mengizinkan berikutan hujan. Tetapi itu tidak mematahkan semangat seluruh pasukan untuk cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Selasa, 12 November 2013

‘Jiwa Norfarhan masih terpahat di TRW’

Oleh Rizar Mohd Noor dan Mohd Nor Asri Yaacob 
‘Jiwa Norfarhan masih terpahat di TRW’
Johor Bahru: Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendapatkan khidmat penyerang Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad beraksi bersama pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tidak kesampaian.

Ini berikutan pemain kelahiran Terengganu itu yang pada awalnya sudah bersetuju untuk beraksi bersama skuad Harimau Selatan, membuat pusingan U dengan memohon supaya dilepaskan.
Menurut kenyataan media Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Norfarhan tidak akan bersama skuad Harimau Selatan musim depan kerana masalah peribadi dan keluarga.


“Pemain itu secara rasmi memohon untuk tidak bersama skuad itu musim depan dan polisi PBNJ lebih menumpukan kepada pemain yang benar-benar mahu berbakti kepada skuad Harimau Selatan.

“Oleh itu, PBNJ tidak akan menyekat kemahuan pemain itu dan berharap dia berjaya dengan pasukan baru pilihannya,” kata kenyataan itu semalam.

Di Kota Bharu, selepas dilepaskan JDT, Norfarhan kemungkinan akan menyarung jersi negeri atau kelab di sebuah negeri di Pantai Timur.

Mengikut sumber, Norfarhan atau lebih dikenali sebagai ‘Ben 10’ mahu kekal bersama The Red Warriors (TRW), namun dia buntu selepas KAFA tidak ‘membela’ nasibnya.
Ubah fikiran

Katanya, pada awalnya pemain itu menerima tawaran JDT, tetapi dia mengubah fikiran dan berhasrat untuk kekal bersama TRW atas faktor kemahuan keluarga dan peminat.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Norfarhan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi orang tengah untuk berunding dengan PBNJ bagi membolehkan dia kekal di Kelantan.

“Memang diakui Norfarhan menerima tawaran lumayan daripada JDT, tapi dia mahu kekal bersama TRW. Bagaimanapun, tiada seorang pun pegawai KAFA tampil untuk menjadi orang tengah membantunya,” katanya sambil menambah Norfarhan kini berada dalam tertekan berhubung isu itu.

Conti, Stewart belum pasti

Oleh Asrol Awang
Berita Harian
 
Kuantan: Kira-kira 90 peratus pemain Pahang, termasuk Mohd Amirul Hadi Zainal, Azidan Sarudin, Hafiz Roslan dan Shahrizan Salleh akan kekal bersama skuad Tok Gajah dalam usaha mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia, musim depan.

“Apa pun masa depan tonggak import, Matias Conti dan Damian Stewart masih belum diputuskan kerana mereka kini masih bercuti di negara masing-masing,” kata ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh.
BH Sukan sebelum ini melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta Mohd Amirul Hadi memberi penjelasan sama ada akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Pahang pada musim depan.


Ini berikutan pemain tengah itu dan keluarganya ada menghubungi PBNJ sebelum ini dengan menyatakan hasrat untuk bermain untuk JDT, musim depan.

Satu lagi import

Bagaimanapun, selepas Pahang menjuarai Piala Malaysia, Mohd Amirul Hadi dilaporkan sudah menandatangani lanjutan kontrak dengan Pahang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai masa depan Mohd Amirul Hadi bersama Pahang, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzeimi Ibrahim, berkata PBNP belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan pemain yang akan menyarung jersi skuad itu.
“Setakat ini, segala urusan berkaitan pemain masih lagi dalam perbincangan termasuk menyenaraikan seorang lagi pemain import untuk skuad itu musim depan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, desas-desus yang mengatakan penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme akan menyertai skuad Pahang juga di luar pengetahuannya.

Isnin, 11 November 2013

Terengganu uji tenaga lima awang import


TERENGGANU akan menguji lima awang import bagi mengisi dua lagi slot pemain import skuad Penyu itu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2014.

Bagi menghadapi kempen musim depan, Terengganu mengekalkan pemain import dari Cameroon, Vincent Bikana manakala kontrak rakan senegaranya, Jean-Emmanuel Effa Owona tidak disambung.
Dalam sesi ujian dari 16 hingga 21 November ini, pengurus Terengganu, Marzuki Sulong berkata, dua daripada lima pemain import berkenaan adalah dari Jepun manakala masing-masing seorang dari Argentina, Brazil dan Croatia.

Beliau berkata, Terengganu akan mempercepatkan proses pencarian pemain import berikutan tarikh pendaftaran pemain untuk musim depan tamat pada 4 Disember depan.

"Jadi kita punya sasaran 30 November ini untuk melengkapkan senarai 25 pemain," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini seramai 21 pemain tempatan disenaraikan dalam skuad Peteh itu dengan tiga daripada mereka bukan anak Terengganu.

"Pemain bukan dari Terengganu yang bakal mewakili Terengganu musim depan adalah bekas pemain Kelantan dan Selangor PKNS," jelasnya.

Marzuki berkata, terdapat dua lagi kekosongan yang akan diisi kemudian jika ada pemain-pemain berstatus bintang tidak berada dalam skuad.

"Kita telah sediakan pemain daripada skuad Piala Presiden untuk mengisi kekosongan sekiranya pemain bintang tidak datang," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ahad, 10 November 2013

Hai-O mangsa 'tarik tali'


AKSI Hairuddin (dua dari kiri) pada pertemuan menentang Kelantan dalam saingan separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang bulan lalu.


KAPTEN The Gladiators, Hairuddin Omar jelas berada di persimpangan dilema.
Segala-galanya bermula apabila penyerang veteran itu menjadi mangsa ‘tarik-tali’ antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Felda United musim depan.

Namun, Hairuddin yang mesra dengan panggilan Hai-O enggan kemelut itu berpanjangan dan menyerahkan perkara tersebut untuk diselesaikan kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

“Susah saya nak cakap sebenarnya... jadi ada baiknya saya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.
“Yang pasti, pihak pengurusan ATM dan Felda United tahu apa sebenarnya yang berlaku ketika ini.

“Jadi, saya menyerahkan kepada kedua-dua pihak pengurusan untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Polemik mula tercetus selepas Felda United dikatakan kecewa apabila Hai-O tidak bersama pasukan itu mengharungi saingan Liga Premier musim depan.

Difahamkan, Hai-O pada mulanya bersetuju menyertai The Settlers sebaik kontraknya bersama ATM tamat penghujung bulan ini.

Ia dikatakan berpunca apabila penyerang berusia 34 tahun itu tidak menerima sebarang tawaran lanjutan oleh pihak pengurusan The Gladiators sebaik kempen Piala Malaysia 2013 tamat baru-baru ini.

Pada masa sama, Hai-O juga dikatakan berada dalam radar juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Kekal mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ berhubung perkara itu, Hai-O sebaliknya menjelaskan ada baiknya perkara itu diselesaikan secara baik terlebih dahulu oleh kedua-dua pihak.
“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat seketika di kampung.

“Saya mencari rezeki dengan bola sepak, jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum pendaftaran pemain ditutup pada 15 Disember depan,” jelas Hai-O yang sedang bercuti di Terengganu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 4 November 2013

TUAH KEPALA CONTI

Oleh Syed Riduan ahmad, Mohd Fitrie Mohammad dan Wan Fakhrul Bakar
TUAH KEPALA CONTI 
 PENYERANG import Pahang, Matias Ruben Conti (tengah), dihalang pemain Kelantan pada aksi perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hari malam tadi. - Foto BERNAMA
The Red Warriors gagal kekal kejuaraan Piala Malaysia

Shah Alam: Pahang menamatkan kemarau 21 tahun Piala Malaysia selepas menewaskan juara bertahan, Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Rentak permainan pantas Pahang ternyata berjaya membuatkan Kelantan berputih mata dan tidak dapat bermain pada corak permainan sebenar mereka.

Ikuti berita penuh kemeriahan final Piala Malaysia dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Ahad, 3 November 2013

Malam penentuan

Oleh Wan Fakhrul Bakar dan Mohd Fitrie Muhamad
Malam penentuan 
 Kapten Pahang, Jalalludin Jaafar (kiri) dan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi memperagakan Piala Malaysia yang menjadi rebutan pada aksi final, malam ini. Foto Hasriyasyah Sabudin
Kelantan tekad pertahan kejuaraan, Pahang mahu tamat kemarau 21 tahun

Kelana Jaya: Laungan siapakah akan terus bergema sebaik wisel penamat dibunyikan pengadil pada aksi final Piala Malaysia edisi ke-87 di Stadium Shah Alam, malam ini - Gomo Kelate Gomo atau Hogoh Pahang Hogoh?
Kedua-dua pasukan turun memburu kejuaraan kali ketiga dengan Kelantan yang muncul juara kali pertama pada 2009 pastinya mahu mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu tatkala Pahang yang menang kali pertama pada 1983 mahu menamatkan kemarau 21 tahun selepas kali kedua memenanginya pada 1992.

Ikuti berita penuh menjelang final Piala Malaysia, dalam BH Ahad hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Isnin, 28 Oktober 2013

‘Jangan fikir ganjaran dulu’

Oleh Asrol Awang Berita Harian

‘Jangan fikir ganjaran dulu’ Imbas kembali Datuk Jamal Nasir Ismail (tengah) dan rakan sepasukan diarak bersama Piala Malaysia selepas Pahang dinobat juara pada 1983. - Foto Mohd Rafi Mamat
 
Kuantan: Ganjaran tetap menjadi milik skuad kendalian Dollah Salleh jika muncul juara, cuma mereka diminta tidak memikirkannya dan perlu fokus pada aksi final Piala Malaysia bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pemain dituntut tidak memikirkan soal ganjaran, sebaliknya membuktikan kemampuan mereka terlebih dahulu menjulang piala berprestij itu.
Komitmen 100 peratus


Beliau berkata, kejayaan mengisi slot terakhir itu seharusnya disusuli dengan kejayaan kerana kali terakhir Pahang muncul juara Piala Malaysia kira-kira 21 tahun lalu iaitu pada 1992.

“Ia adalah tempoh yang panjang dan kejayaan layak ke final perlu dicapai dengan kejayaan muncul juara buat kali ketiga selepas melakukannya pada 1983 dan 1992.

“Soal ganjaran tidak harus menjadi fokus utama kerana misi Pahang kali ini adalah untuk menjulang kejuaraan yang sudah sekian lama diidamkan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Satu PBNP, Datuk Tajuddin Abdullah mahu semua pemain memberi tumpuan 100 peratus pada aksi final itu nanti kerana Kelantan bukan calang-calang pasukan untuk ditewaskan.
Namun, katanya, kejayaan ke final sudah pasti memberi suntikan semangat kepada pemain untuk melakar kejayaan biarpun saingan getir bakal dihadapi.

“Saya harap pada aksi final nanti kesebelasan utama berada pada prestasi terbaik dan memanfaatkan peluang sebaik mungkin jika mahu bergelar juara,” katanya.

Periksa ketat

Oleh Sukhairi Thani 
Kelana Jaya: Penyokong Kelantan dan Pahang terpaksa berdepan tiga pemeriksaan keselamatan paling ketat sebelum dapat memasuki Stadium Shah Alam untuk menyaksikan aksi final Piala Malaysia, Ahad ini.

Pertama, mereka perlu menjalani pemeriksaan badan; kedua, tiket diperiksa menggunakan pengimbas; dan ketiga, pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan tidak ada barangan atau objek yang dilarang dibawa masuk ke stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Affandi Hamzah, berkata FAM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan pemeriksaan itu, selain menjaga keselamatan pada aksi final itu nanti.


Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Ahad, 27 Oktober 2013

Irfan, Fadhli janji yang terbaik untuk Johor DT

Oleh NURUL HUDA HASSAN

Tunku Ismail (tengah) bersama Muhd. Fadhli (kiri) dan Mohd. Irfan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam. 
 
JOHOR BAHRU - Dua pemain baharu Johor Darul Takzim musim depan, Mohd. Irfan Fazail dan Muhd. Fadhli Shas berjanji memberikan terbaik dalam usaha memastikan kemenangan untuk pasukan.

Mohd Irfan yang merupakan pemain tengah nyata teruja untuk menyertai Johor Darul Takzim, malah tidak sabar untuk menimba pengalaman dan bermain dengan pemain berpengalaman dan dikenali di peringkat antarabangsa, Pablo Aimar.

"Ia merupakan satu cabaran untuk menguji dan menaikkan prestasi untuk diri sendiri," katanya.
Bagi pemain pertahanan, Muhd. Fadhli Shas pula, dia percaya sudah tiba masa untuk dirinya yang sebelum ini anggota skuad bawah Bawah 23 tahun negara pulang menabur bakti kepada negeri sendiri.

"Saya percaya Johor Darul Takzim pasukan yang perlu diberi perhatian dan saya bangga menjadi sebahagian daripadanya," ujarnya. 

Kedua-dua mereka masing-masing berusia 22 tahun mengikat kontrak selama dua tahun bersama Johor Darul Takzim dengan tawaran tambahan dua tahun lagi sekiranya mereka mahu terus memberikan perkhidmatan, namun jumlah bayaran diterima tidak didedahkan.

Mereka diperkenalkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Tunku Mahkota Johor berkata, beliau gembira dan berbangga kerana kedua-dua pemain itu kembali menabur bakti kepada negeri ini sekali gus berharap mereka dapat menggunakan segala pengalaman untuk memantapkan lagi pasukan.

Tunku Ismail turut mengesahkan hanya sembilan pemain Johor DT yang beraksi pada musim ini dikekalkan untuk musim depan selain turut mengesahkan penyertaan tonggak Lions XII, Hariss Harun.

Tambahnya, PBNJ masih menjalankan perbincangan dengan beberapa pemain termasuk Safee Sali dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak untuk menentukan hala tuju mereka musim depan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Kelantan, Pahang lonjak gelora



BARISAN pemain Kelantan meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Jumaat lalu.


"FINAL paling ditunggu-tunggu musim ini."
Demikian jelas pengkritik bola sepak negara, Reduan Abdullah menjelang aksi final Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam pada 3 November depan.

Menurut beliau, rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini tidak wajar dijadikan ukuran, memandangkan saingan di pentas final adalah sesuatu aksi yang cukup berbeza.

"Kedua-dua pasukan dilihat memiliki kekuatan dan kekurangan yang seimbang.

"Biarpun saya percaya pemenang tidak akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, ada baiknya kita tunggu aksi sebenar di atas padang nanti," kata Reduan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelantan yang tampil selaku juara bertahan mara ke pentas final selepas mengecewakan finalis musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi agregat 4-3.

Pahang pula mengakhiri penantian selama 16 tahun untuk mara ke pentas final selepas mengatasi cabaran juara Liga Premier, Sarawak dengan agregat 4-2.

Sebagai rekod, kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam aksi pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia 20 Ogos lalu.

Bagaimanapun, skuad The Red Warriors berpesta gol membelasah Pahang 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 21 September lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai sentuhan yang dimiliki pengendali Pahang, Dollah Salleh, Reduan mengakui, bekas penyerang skuad kebangsaan itu memiliki karisma tersendiri bagi menjulang Tok Gajah kali ini.

Ia bersandarkan kepada kejayaan Dollah yang mendakap gelaran yang sama ketika membimbing Selangor MBPJ pada 2003 dan Selangor dua tahun kemudian.

"Sebagai jurulatih, Dollah pastinya mahu menamatkan penantian penyokong Pahang yang kali terakhir melihat Piala Malaysia diarak ke Kuantan pada 1992 selepas Pahang dikecewakan Selangor di pentas final 1997.

"Cuma kredibiliti (jurulatih Kelantan) Bojan Hodak juga tidak boleh dipandang sebelah mata, beliau pastinya mahu mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia selepas terlepas trofi Liga Super musim ini," kata beliau.

Reduan juga percaya mana-mana pasukan yang paling sedikit membuat kesilapan bakal membawa pulang trofi paling berprestij edisi yang ke-87 itu.

"Aksi final pastinya berbeza, jadi pemain harus bijak mengawal perasaan dan tidak terlalu gemuruh.
"Apa yang pasti, saya percaya ia satu final yang ditunggu-tunggu terutamanya bagi peminat dari Pantai Timur," katanya.

Pada final Piala Malaysia musim lalu, Kelantan mengecewakan ATM 3-2 di Stadium Shah Alam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Jumaat, 25 Oktober 2013

Legenda Sarawak cetus semangat Ngap Sayot


TIADA siapa menaruh harapan tinggi kepada Sarawak untuk melangkah jauh pada saingan Piala Malaysia meskipun tampil dengan reputasi selaku juara Liga Premier musim ini.

Tidak cukup dengan itu, pasukan yang pernah dilabel sebagai 'cap ayam' ini bukanlah calon utama mara ke separuh akhir, namun dengan status tersebut membuatkan Bujang Senang bingkas bangkit mengejutkan juara Liga Super, Lions XII, Perak, Kedah dan Sime Darby.

Bagi legenda Ngap Sayot, Awang Mahyan Awang Mohamad, 62, skuad Bujang Senang bimbingan Robert Alberts kali ini merupakan sandaran terbaik untuk Sarawak memburu kejuaraan berganda musim ini.

"Sarawak sudah lama tidak beraksi di pentas final, malah kita tidak pernah jadi juara Piala Malaysia.
"Kali terakhir Sarawak mara ke pentas final Piala Malaysia ialah pada edisi 1999 tetapi tewas kepada Brunei.

"Bagaimanapun, saya optimis berdasarkan prestasi semasa, Sarawak mampu beraksi di medan final.
"Dengan sokongan padu penyokong sendiri, saya yakin pemain akan berjuang habis-habisan untuk menewaskan Pahang di Stadium Negeri esok (malam ini)," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuching semalam.

Awang Mahyan yang turut digelar 'bapa revolusi bola sepak Sarawak' selepas membawa Ngap Sayot melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 1989 menambah, anak-anak buah Alberts masih mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri ke final.

Katanya, para pemain Sarawak tidak harus mengambil mudah saingan skuad kendalian Dollah Salleh itu jika ingin merealisasikan impian mara ke pentas final.

"Pemain tidak boleh dibuai dengan kelebihan satu gol di tempat lawan, sebaliknya apa yang penting sekarang ialah memberi fokus sepenuhnya untuk mencari defisit dua gol pada perlawnan nanti.
"Saya sendiri cukup teruja dan amat berbangga dengan pasukan Sarawak. Jadi, inilah detik paling penting dalam karier setiap pemain untuk menyala impian mara ke final seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia," katanya.

Pencipta slogan Ngap Sayot itu turut mengakui, Muamer Salibasic merupakan aset bernilai untuk Sarawak menggerakkan serangan bagi merobek gawang Tok Gajah.

"Selain itu, corak permainan Sarawak pada aksi kedua malam ini dijangka berubah wajah dengan kehadiran semula 'ayam tambatan', Joseph Kalang Tie selaku perancang utama.

"Kehadiran Ronny Harun turut menjadi kunci kekebalan pertahanan Sarawak bagi memperkukuhkan benteng daripada dirobek pemain Pahang," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Kelantan ke pentas final kali keempat

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
Kelantan ke pentas final kali keempat  
AHMAD Fakri Saarani (kanan) bersama Dickson Nwakaeme (20) meraikan gol kedua Kelantan jaringan Mohd Badhri Radzi (kiri) pada separuh akhir kedua bertemu Tentera. - Foto Fathil Asri
TRW bangkit pada saat akhir mara menerusi agregat 4-3

Kota Bharu: Kelantan memang gah apabila bangkit pada saat akhir untuk mengikat Tentera dengan keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) mara ke pentas final menerusi agregat 4-3.

Ikuti berita penuh kerancakan demam Piala Malaysia dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Selasa, 22 Oktober 2013

PAFA sedia bertolak ansur bebas Azraai

Oleh Azizan Hashim 
PAFA  sedia bertolak ansur  bebas  Azraai
Ipoh: Hasrat Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar) untuk meninggalkan Perak mungkin tercapai kerana Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikatakan sedia bertolak ansur untuk membebaskan jurulatih itu.

Difahamkan jurulatih itu dan Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun sudah mencapai persetujuan dan akan memeterai perjanjian bagi membolehkannya meninggalkan Perak.
“Bertentangan dengan kenyataan Presiden PAFA Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kelmarin bahawa kedua-dua pihak tidak mencapai persetujuan sebenarnya mereka sudah bersetuju. Azraai dijangka menandatangani surat persetujuan dan akan bebas dari sebarang ikatan dengan PAFA esok (hari ini),” kata satu sumber semalam.


Rundingan akhir

Menurut sumber itu apa yang berlaku ialah ketika Presiden PAFA itu membuat kenyataan akhbar mengenai perkara itu, rundingan antara Azraai dengan Khairul Azwan sedang berlangsung di pejabat PAFA.

“Mungkin Zainol tidak mendapat maklumat terkini ketika itu lantaran membuat pengumuman bahawa rundingan berkenaan gagal,” katanya.

Pada sidang akhbar di pejabatnya kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air itu memaklumkan PAFA tidak melepaskan Azraai kerana rundingan terakhir itu gagal.
Beliau berkata, jurulatih itu masih menjadi pegawai PAFA kerana mempunyai kontrak sehingga 2014 dan Perak ada perancangan untuknya. Pada masa sama, Zainol mengumumkan pelantikan jurulatih skuad Piala Presiden Perak, Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih baru skuad Liga Super Perak.