Sabtu, 26 Januari 2013

Zaha tidak sabar sarung jersi United




MANCHESTER - Pemain muda Crystal Palace, Wilfried Zaha (gambar) melahirkan rasa gembira selepas berjaya mengikat kontrak bersama kelab gergasi England, Manchester United bernilai £15 juta (RM72 juta) kelmarin.

Pemain berusia 20 tahun yang lahir di Ivory Coast itu berasa lega selepas spekulasi mengaitkannya dengan beberapa kelab utama Eropah berakhir.

Kini, dia akan terus bersama Crystal Palace sehingga penghujung musim ini sebagai pemain pinjaman.
Selepas menandatangani kontrak bersama United, Zaha melahir perasaan itu melalui akaun Twitternya.
"Saya sangat teruja, melalui hari yang memenatkan tetapi akhirnya saya gembira apabila menamatkan segala spekulasi ini," katanya.

Pengurus United, Alex Ferguson mula memantau perkembangan Zaha selepas melihat aksi lincah pemain itu dalam satu perlawanan Liga Kejuaraan antara Palace dan Peterborough, November lalu.

Selepas perlawanan itu, Ferguson terus menghubungi ayahnya dan menyatakan minat untuk mengambil pemain sayap itu bersama skuad The Red Devils.

Akademi Crystal Palace tidak 'sunyi' untuk melahirkan bakat-bakat hebat seperti Wayne Routledge, Nathaniel Clyne, Victor Moses dan Ben Watson namun Zaha merupakan antara pemain paling menonjol.
Namun, Ferguson mahu dia terus membantu Palace mencapai keputusan terbaik dalam baki saingan Liga Kejuaraan musim ini sebelum dia dapat merasai detik manis berkongsi bilik persalinan dengan Robin van Persie dan Wayne Rooney musim hadapan.

"Saya sungguh gembira dapat menyertai United, sekali gus mengakhiri spekulasi selama ini. Saya berterima kasih kepada Palace yang membenarkan saya berhijrah.

"Saya bersama Palace sejak 10 tahun lalu. Saya tidak akan lupakan jasa mereka dan saya bertekad membantu mereka kembali ke Liga Perdana England," kata Zaha.

Untuk rekod, David Beckham hanya membuat penampilan sulung bersama United pada usia 20 tahun dan sebelum itu dia turut dipinjamkan ke beberapa pasukan lain sebelum membuat penampilan dalam skuad utama The Red Devils.

Dalam pada itu, peminat-peminat Palace pasti merindui aksi Zaha meskipun pemilik Palace merestui pemergiannya ke kelab yang lebih besar demi masa depan karier bola sepaknya.

Zaha juga menarik perhatian Arsenal namun mereka membatalkan hasrat mendapatkan pemain sayap yang bermain ketika England tewas 2-4 kepada Sweden dalam satu perlawanan persahabatan hujung tahun lalu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan