Khamis, 27 Jun 2013

Brazil ke final singkir Uruguay 2-1

Paulinho (kiri) menjaringkan gol Brazil ketika menentang Uruguay pada separuh akhir Piala Konfederasi di Belo Horizonte, Brazil, semalam. - AFP 
 
BELO HORIZONTE, Brazil - Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Konfederasi semalam memberi isyarat kepada penyokong Brazil bahawa pasukan mereka mampu melakar kecemerlangan pada Piala Dunia di tempat sendiri tahun depan, kata jurulatih, Luis Felipe Scolari. 

Brazil, juara Piala Dunia lima kali menepati sasaran awal dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Uruguay 2-1 pada separuh akhir. 

Tandukan pemain tengah, Paulinho membawa Brazil ke perlawanan akhir.
Sebelum itu Fred meletakan Brazil mendahului dua minit sebelum rehat menerusi percubaan jarak dekat.

Diego Forlan terlepas peluang meletakan Uruguay mendahului apabila gagal menyempurnakan penalti.

Edinson Cavani menyamakan kedudukan buat Uruguay menerusi jaringan tiga minit selepas rehat sebelum Paulinho melakukan tandukan yang memberikan jaringan kemenangan buat Brazil.

"Kami mencapai sasaran awal sebaik sahaja melepasi peringkat kumpulan, memasuki perlawanan akhir dan memberi semangat buat pemain untuk bersatu dengan peminat. Kejayaan kami meyakinkan penyokong bahawa kita memiliki sebuah pasukan yang bagus untuk melangkah ke final Piala Dunia.

"Ini yang saya mahu pemain-pemain kami mahu lakukan (meyakinkan peminat) dan kami hanya boleh buat begitu dengan berjaya memenangi perlawanan. Jadi, kami sudah mencapai objektif awal, sekarang objektif seterusnya adalah memenangi perlawanan akhir," kata Scolari. - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan