![]() |
BERKESEMPATAN menonton filem Lemak Kampung Santan terbitan
Tall Order Production Sdn. Bhd. kira-kira dua minggu lalu, ternyata
gandingan mantap antara pelakon Hans Isaac dan Noor Neelofa Mohd. Noor
cukup menyerlah.
Ironinya, mereka baru kali pertama berlakon bersama-sama.
Bagaimanapun, sepanjang proses penerbitan filem berkenaan yang
mengambil masa sehingga hampir dua tahun sebelum akhirnya ditayangkan di
pawagam pada hari raya pertama yang dijangkakan 8 Ogos ini, Hans dan
Neelofa tidak terlepas apabila dikaitkan mempunyai hubungan istimewa.
Hans selaku pengarah filem tersebut menegaskan bahawa dia
seboleh-bolehnya tidak mahu lagi kisah dirinya yang dikatakan bercinta
dengan Neelofa terus dijadikan bahan sensasi ramai.
"Secara jujurnya, saya tidak mahu cerita mengenai kami lebih menjadi tumpuan berbanding filem ini.
"Lagipun beberapa bulan lalu saya sudah membuat satu sidang akhbar khas untuk menjelaskan perkara yang sebenar.
"Tambahan pula, tidak lama lagi filem ini akan ditayangkan di pawagam
dan saya tidak ingin penonton memberi tanggapan yang saya sengaja
menjaja kisah cinta semata-mata mahu melariskan filem ini," ujarnya pada
sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Hans yang juga bertindak sebagai penerbit Lemak Kampung Santan dihasilkan dengan begitu teliti sehingga mengambil masa yang lama.
Ia turut membabitkan rombakan skrip yang dilakukan sebanyak 15 kali
semata-mata untuk menghasilkan sebuah filem berkualiti dan memenuhi cita
rasa penonton.
Ujarnya, dia turut meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat
kejayaan filem terbaharunya itu serta dapat memberi kepuasan kepada
penonton dengan kelainan jalan cerita yang ditampilkan.
"Sebagai seorang penerbit sudah tentu saya ingin jual filem yang
dihasilkan dan berharap supaya mendapat pula ngan yang setimpal.
"Tidak dinafikan saya memang meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk filem ini.
"Namun begitu, saya tidak mahu cerita sensasi yang membabitkan diri
saya dan Neelofa dijadikan sebagai pelaris untuk orang ramai ke pawagam.
"Sebaliknya, saya yakin filem ini mempunyai kualiti tersendiri yang
dapat menarik orang ramai untuk menonton filem ini," jelasnya.
Mengenai pemilihan Neelofa untuk memegang watak heroin, secara
jujurnya Hans memberitahu, sewaktu kali pertama bertemu setelah
diperkenalkan oleh Aziz M. Osman, dia melihat pelakon tersebut mempunyai
karisma dan tarikan yang tersendiri.
![]()
HANS dan Neelofa sepakat enggan ambil kisah tentang gosip yang mendakwa mereka sedang menjalinkan hubungan cinta.
|
Bagaimanapun, Hans menegaskan bahawa sebelum diambil berlakon dalam
filem tersebut, Neelofa perlu menjalani sesi uji bakat terlebih dahulu.
Ia membabitkan penilaian oleh lapan orang rakannya yang sudah berpengalaman dalam bidang lakonan.
"Sepanjang menjalani penggambaran filem ini Neelofa telah memberi komitmen seratus peratus.
"Saya sangat berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkannya. Dia berjaya membawakan watak Tiqa dengan baik.
"Secara jujurnya saya sangat senang bekerjasama dengannya kerana saya melihat dia bukanlah jenis wanita yang hipokrit.
"Kalau ada perkara yang tidak memuaskan hati, dia akan berterus
terang dan ia memudahkan lagi semua pihak untuk bekerja dan menghabiskan
penggambaran tanpa timbul sebarang masalah yang besar," ujarnya.
Menurut Hans lagi, dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali
bekerjasama dengan Neelofa pada masa akan datang, namun berharap agar
mereka tidak terus dikaitkan mempunyai hubungan cinta lagi.
Promosi
Biarpun Lemak Kampung Santan ditayangkan ketika umat Islam
menyambut Aidilfitri, Hans menegaskan, ia bukanlah jaminan buat filemnya
itu mampu mencecah kutipan yang tinggi.
Tambahan pula katanya, filemnya itu terpaksa bersaing dengan sebuah lagi filem Melayu yang tidak kurang hebatnya iaitu Adnan Sempit 3 yang turut ditayangkan pada hari yang sama.
"Buat masa ini, saya terpaksa menggiatkan lagi aktiviti promosi
filem, malah telah memperuntukkan sebanyak RM750,000 sebagai kos membeli
iklan di media cetak dan elektronik.
"Selain itu, para pelakon yang terlibat dalam filem ini juga akan
terbabit dengan rangka promosi menerusi siri jelajah di seluruh negara
yang akan diaturkan dan akan bermula sama ada empat atau lima hari
selepas sambutan Aidilfitri," ujarnya.
Lemak Kampung Santan mengisahkan tentang seorang pemuda bandar,
Ridzuan (Hans) yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung penjual
nasi lemak bernama Tiqa (Neelofa) dalam satu pertemuan yang berlaku
tanpa diduga di Kampung Santan.
Bagaimanapun, Tiqa tidak mengetahui bahawa Ridzuan merupakan ketua
projek yang akan membina sebuah resort bertaraf antarabangsa di Kampung
Santan dan memaksa semua penduduk kampung untuk berpindah.
![]()
NEELOFA kini berada di Pasir Mas, Kelantan sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
|
Selain Hans dan Neelofa, filem tersebut turut dibintangi beberapa
pelakon popular lain seperti Harun Salim Bachik, Awie, Nadia Mustafa,
Khir Rahman dan Natasha Hudson.
Mengaku bercinta
Sementara itu, Neelofa yang turut hadir bersama Hans pada sesi
fotografi tersebut meminta supaya tiada lagi pihak yang terus mengaitkan
kisah cinta mereka berdua.
Membuat pengakuan berani apabila mengesahkan dia memang bercinta
dengan Hans, namun pelakon tersebut mendedahkan kisah cinta mereka
sekadar menjadi realiti dalam Lemak Kampung Santan sahaja.
"Selama ini orang melihat kami seperti pasangan bercinta tetapi hakikatnya kami sekadar teman rapat.
"Seboleh-bolehnya biarlah tiada lagi cerita yang terus mengatakan kami ini menjalinkan hubungan istimewa.
"Kalau ada mana-mana pihak yang ingin melihat kami bercinta, mereka boleh menyaksikannya dalam Lemak Kampung Santan yang akan memulakan tayangan di pawagam pada hari raya pertama nanti," ujarnya.
Menceritakan tentang pembabitannya dalam filem berkenaan pula,
Neelofa menjelaskan, semasa proses pembacaan skrip kali pertama, dia
sudah tertarik dengan watak Tiqa, seorang gadis kampung.
Ujarnya, dia begitu pasti para penonton akan melihat perbezaan dan
peningkatannya dalam aksi lakonan yang ditampilkan apabila menonton
filem terbaharu lakonannya itu.
"Sebagai seorang gadis yang dilahirkan dan pernah dibesarkan di
kampung, saya tidak mengalami sebarang kesukaran membawakan watak yang
diberikan.
"Malah, Hans selaku pengarah banyak membantu saya untuk menghayati
watak yang diberikan," ujar pelakon kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu.
Rumah terbuka
Bercerita mengenai persediaan untuk menyambut bulan Syawal pula,
Neelofa menyatakan, persiapan dibuat secara ringkas sahaja serta tiga
pasang baju kurung yang sudah siap dibeli.
Ujarnya, memandangkan jadual seninya yang cukup padat sepanjang bulan
puasa ini, dia akan mula bercuti dua hari sebelum sambutan Aidilfitri
yang diraikan pada 8 Ogos itu.
"Pada tahun ini, saya cuma akan bercuti selama lima hari sahaja. Dua
hari saya dan keluarga akan menyambutnya di Alor Setar, Kedah dan
selepas itu kami akan pulang ke Pasir Mas, Kelantan pula.
"Lagipun saya tidak boleh bercuti terlalu lama memandangkan filem
lakonan saya akan ditayangkan pada hari raya pertama. Jadi, saya perlu
pulang semula ke Kuala Lumpur untuk terbabit dengan aktiviti promosi,"
jelasnya.
Menurut Neelofa, dia juga sudah merancang untuk mengadakan rumah
terbuka di kediamannya di Kuala Lumpur khusus buat rakan- rakan dan
peminat tetapi masih belum mendapatkan tarikh yang sesuai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan