Jumaat, 2 Ogos 2013

Bayern kurang menyengat


Pemain Bayern Munich, Arjen Robben (kanan) mengelak terjahan pemain Sao Paolo, Jadson pada kejohanan pramusim Piala Audi di Munich, semalam. - AFP 
 
MUNICH, Jerman - Bayern Munich mengalahkan kelab Brazil, Sao Paulo 2-0 dalam kejohanan pramusim, Piala Audi semalam untuk bertemu Manchester City dalam perlawanan akhir di Allianz Arena.

Bos Bayern, Pep Guardiola sewajarnya merancang sesuatu memandangkan lawan mereka pada pentas akhir nanti, City garang selepas mengalahkan AC Milan 5-3.

Bayern tidak mampu melenyapkan terus cabaran Sao Paulo sebaliknya terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menjaringkan gol.

Mario Mandzukic menjaringkan gol pertama dan pemain muda Mitchell Weiser menambah satu lagi jaringan.

Bayern menguasai perlawanan dan memiliki banyak peluang gol dengan Arjen Robben dan Franck Ribery sering melancarkan serangan manakala percubaan Claudio Pizzaro dikeluarkan di atas garisan gol oleh pemain pertahanan, Rafael Toloi.

Penjaga gol veteran Sao Paulo, Rogerio Ceni terlepas peluang mendapatkan gol apabila sepakan penalti yang dilakukannya diselamatkan Manuel Neuer. 

Sementara itu, City menguasai permainan ketika menentang Milan dan mendahului seawal minit ketiga menerusi David Silva.

Micah Richards menambah gol kedua City pada minit ke-19 sebelum Aleksandar Kolarov memberikan jaringan ketiga dan Edin Dzeko meledak dua gol dalam tempoh empat minit bagi meletakkan City di hadapan 5-0.

Milan cuba memberi tentangan apabila bangkit menerusi dua jaringan daripada Stephan El Shaarawy dan Andrea Petagna sebelum rehat. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan