BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh memberikan saranan
kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya melantik individu yang
benar-benar memahami Liga Malaysia (Liga M) sebagai ketua jurulatih
Harimau Malaya yang baharu.
Shukor berkata, kemerosotan prestasi skuad negara berpunca daripada
pendekatan pengendali ketika ini, Datuk K. Rajagobal yang lebih gemar
menguji para pemain.
Situasi itu antara faktor menyebabkan Harimau Malaya gagal memberikan persembahan yang menyakinkan.
Bekas pemain Pulau Pinang itu berkata, sudah tiba masanya FAM menilai
latar belakang calon-calon yang akan menggantikan Rajagobal yang tidak
akan disambung kontrak pada Disember depan.
Jelasnya, persefahaman antara jurulatih dan pemain sangat penting
demi menjamin kesinambungan persembahan skuad negara pada masa akan
datang.
"Kenapa nak uji pemain? Adakah Rajagobal masih belum arif dengan pemain-pemain yang beraksi di Liga M?
"Adakah dia turun padang dengan menyaksikan perlawanan liga-liga
tempatan? Sebenarnya, perkara ini telah banyak menimbulkan persoalan
kepada pemerhati bola sepak khususnya peminat-peminat Harimau Malaya.
"Pada pendapat saya, sudah tiba masanya FAM mencari individu yang
betul-betul arif dengan Liga M. Bukan sahaja senang untuk berkomunikasi
dengan para pemain tetapi ia turut memudahkan jurulatih membuat
perancangan yang lebih teliti.
"Jangan pula mengambil alasan prestasi jatuh disebabkan bulan
Ramadhan, pada hal beliau sendiri yang merancang perlawanan persahabatan
ini di Jepun dan persoalan saya, adakah skuad negara asyik menang
selain beraksi di bulan puasa?
"Carilah jurulatih yang berkaliber, merendah diri dan sentiasa
mendengar pandangan orang lain. Tidak kisah sama ada jurulatih tempatan
mahupun import, asalkan mereka arif dengan perjalanan Liga M," katanya
ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, skuad kendalian Rajagabol dikritik
hebat selepas sekadar memenangi dua perlawanan dan satu seri sepanjang
13 aksi pemanas badan antarabangsa sejak 1 Februari lalu.
Harimau Malaya mencatat tiga kekalahan ketika berdepan Shimizu S
Pulse (0-2), Shonan Bellmare (0-5) dan Tokyo Verdy (0-5) dalam siri
perlawanan persahabatan di bumi Jepun sejak 23 Julai lalu.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak
berpuas hati dengan prestasi itu mengesahkan, pihaknya telah bersetuju
untuk tidak melanjutkan kontrak pengendali berusia 57 tahun itu dan kini
sedang mengintai calon-calon berpotensi sebagai pengganti Rajagobal.
Rajagobal masih diberikan kepercayaan oleh FAM dalam usaha meneruskan
baki perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 sehingga kontraknya tamat
pada Disember ini.
Dalam perkembangan sama, Shukor menegaskan, semua pihak tidak boleh
menuding jari terhadap Rajagobal di atas prestasi hambar tersebut.
"Tidak adil untuk mengatakan semua ini berpunca dari Rajagobal tetapi pemain juga harus dipersalahkan.
"Namun, beliau sendiri yang memilih pemain-pemain dan saya tidak tahu
bagaimana hendak memberikan nasihat kepada pemain generasi kini.
"Sudah tiba masanya mereka mengubah mentaliti untuk beraksi dengan lebih baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan