Selasa, 13 Ogos 2013

Hodgson mahu padam isu Rooney


Roy Hodgson (tengah) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan skuad England di padang latihan St. George's Park berhampiran Burton Upon Trent, kelmarin. England akan menentang Scotland dalam aksi persahabatan hari ini. - REUTERS 
 
LONDON - Pengurus England, Roy Hodgson mahu melenyapkan berita mengenai perpindahan Wayne Rooney daripada akhbar dengan mengalahkan seteru lama, Scotland dalam perlawanan persahabatan di Stadium Wembley, hari ini.

Praperlawanan kedua-dua pasukan didominasi spekulasi mengenai perpindahan pemain Manchester United itu, yang mana pengurusnya David Moyes hilang sabar ketika ditanya wartawan mengenai masa depan Rooney selepas memenangi Perisai Komuniti Ahad lalu.

Selepas dua bidaan Chelsea ditolak, Rooney tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan pramusim United kerana kecederaan hamstring dan bahu namun Hodgson berkata, pemain itu cergas untuk berdepan Scotland.

Dengan kekurangan perlawanan, kemungkinan pemain berusia 27 tahun itu tidak akan diturunkan sepenuh masa dan Hodgson juga perlu memikirkan lain-lain pemain utama.

Frank Lampard, Jack Wilshere dan ketua pasukan, Steven Gerrard kembali beraksi setelah pulih daripada kecederaan dan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris Sabtu ini, mengelak kecederaan menjadi pertimbangan utama mereka.

Wilshere hanya beraksi sekali untuk England sejak 2011 iaitu ketika England kalah 1-2 kepada Brazil pada Februari lalu dan Hodgson gembira kerana pemain Arsenal itu dapat kembali beraksi.

"Saya amat gembira Wilshere dapat beraksi semula kerana dia amat berbakat.

Peranannya ketika menentang Brazil, di mana dia muncul pemain terbaik perlawanan, masih dikenang," kata Hodgosn.

Hodgson hanya memiliki seorang pemain yang tiada cap antarabangsa iaitu pemain berusia 31 tahun yang mewakili Southampton, Rickie Lambert.

Penyerang itu mengharapkan penampilan antarabangsa pertama dan Hodgson juga mungkin mahu memberi peluang kepada pemain United berusia 20 tahun, Wilfried Zaha, yang membuat kemunculan sulung antarabangsa ketika menentang Sweden tahun lalu.

Hanya Ashley Young menarik diri daripada skuad kerana kecederaan menjelang aksi pemanas badan untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Moldova dan Ukraine. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan