Selasa, 13 Ogos 2013

Kelantan ukur keupayaan jumpa ATM

Oleh YATIMIN ABDULLAH

Bojan Hodak memberikan arahan kepada pemain pada sesi latihan pasukan Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini menjelang sepak mula Piala Malaysia Selasa depan. 
 
KOTA BHARU - Aksi persahabatan antara Kelantan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini menjadi medan terbaik buat pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak mengukur keupayaan sebenar pasukannya.

Hodak berkata, pertemuan dengan ATM itu cukup penting buatnya untuk melihat segala kelemahan dan kekuatan pasukan menjelang sepak mula Piala Malaysia 20 Ogos ini.

Dia mengakui barisan pemain memberikan tumpuan sepenuhnya pada pertemuan tersebut kerana ia merupakan persiapan terakhir pasukan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi tahun ini.

"Walaupun ia hanya aksi pemanas badan, namun saya yakin dan percaya pertemuan ini bakal berlangsung sengit dan para penonton bakal dihidangkan dengan corak permainan menarik sama ada dari Kelantan mahupun ATM.

"Mereka pasti akan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan ini, begitu juga dengan The Red Warriors. Ini medan terbaik buat saya menguji sepenuhnya kekuatan pasukan untuk menghadapi saingan kali ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hodak memberitahu, perlawanan hari ini akan memberikan bayangan kepadanya untuk menyediakan ramuan terbaik bagi mengharungi kempen Piala Malaysia selepas mendapat semula khidmat beberapa tonggak utama yang bersama skuad negara baru-baru ini.

Katanya, dia berharap kesemua tonggak yang sebelum ini beraksi bersama pasukan kebangsaan bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya akan uji enam tonggak yang bermain bersama pasukan kebangsaan. Dari situlah saya akan buat penilaian siapakah yang betul-betul layak berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan," ujarnya.
Enam pemain tersebut ialah Azizi Mat Rose, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab. Halim, Mohd. Nor Farhan Mohamad, Shakir Shaari, Ahmad Fakri Saarani dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, The Red Warriors menerima khabar gembira apabila kaptennya Mohd. Badhri Radzi telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya sebelum ini.

"Saya gembira dia (Mohd. Badhri) sudah pulih. Dia cukup bersemangat ketika menjalani latihan dan bermain dengan cemerlang ketika menumbangkan T-Team 2-1 dalam aksi persahabatan sebelum ini.

"Jadi saya akan meletakkannya sebagai pemain utama untuk perlawanan malam esok (ini). Selain itu beberapa pemain yang sebelum ini cedera sudah pulih dan bersedia untuk diturunkan termasuk Indra Putra Mahyuddin, Zairul Fitree Ishak dan beberapa tonggak yang lain," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan