Khamis, 15 Ogos 2013

Jangan banyak merapu!


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh mula naik angin dengan Peter James Butler.

Sehari selepas Butler mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial Twitter peribadinya dengan mengkritik PBSNT, semalam Che Mat pula 'menyerang' bekas jurulatih Terengganu itu.

Che Mat menegaskan, perbuatan Butler itu jelas tidak menggambarkan sikap profesional selepas pengendali kelahiran Halifax, England itu dipecat sebagai jurulatih Terengganu pada pertengahan tahun lalu.

Beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan terhadap Butler jika jurulatih berusia 47 tahun itu terus bertindak mencemar nama baik Terengganu mahupun T-Team dalam laman sosial.

"Jangan nak sibuk-sibuk pasal Terengganu dan T-Team, jaga hal diri sendiri lebih bagus.
"Jadilah seorang yang lebih matang dan profesional. Kami dah bayar semua gaji tertunggak, apa lagi yang dia (Butler) tak puas hati?

"Dia tidak boleh merapu dalam Twitter dengan memberikan gambaran buruk kepada bekas majikannya sendiri (PBSNT).

"Nasihat saya, jangan ulangi perbuatan itu pada masa akan datang sebelum tindakan susulan diambil," kata Che Mat ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam laman sosial Twitter peribadinya kelmarin, Butler secara terbuka mengkritik pihak pengurusan PBSNT selain mengeluarkan kenyataan supaya badan induk itu mencontohi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Bekas jurulatih Kelantan itu turut menyelar Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Yusof yang dianggapnya sebagai badut dan tidak memiliki sebarang pengetahuan dalam bidang bola sepak.
Sebelum ini, Butler cukup terkenal dengan pelbagai kontroversi apabila beliau pernah bertikam lidah dengan bekas penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Beliau juga hampir dikenakan saman oleh dua bekas pemainnya, Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad apabila menuduh kedua-dua pemain terbabit membawa masuk wanita ke dalam bilik hotel di Kedah pada Ogos tahun lalu.

"Dia (Butler) pernah cuba minta balik jawatan (jurulatih Terengganu) selepas undian Piala Malaysia baru-baru ini tetapi saya tidak mahu layan.

"Cukuplah apa yang berlaku sepanjang beliau menjadi jurulatih Terengganu," tegas Che Mat.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan