|
DATUK K. Rajagobal tidak peduli dengan desakan sesetengah pihak agar
beliau meletak jawatan sebagai pengendali skuad bola sepak Harimau
Malaya.
Ini kerana pengendali berusia 57 tahun itu akan terus membimbing
skuad tersebut sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan.
Ternyata kritikan daripada para pemerhati dan peminat bola sepak
tempatan yang mendesak Rajagobal meletak jawatan gara-gara keputusan
hambar skuad kendaliannya sejak kebelakangan ini tidak menjejaskan fokus
beliau.
Sebaliknya, Rajagobal turut menempelak para pengkritik yang
disifatkannya sebagai tidak sabar-sabar menuntut beliau meletak jawatan
gara-gara prestasi hambar Harimau Malaya.
"Saya tidak akan letak jawatan, kontrak saya hanya akan tamat pada 31 Disember depan.
"Selepas itu, terpulang kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sama ada mahu menyambung kontrak saya atau tidak.
"Mereka (pengkritik) bukannya ada di Jepun dan tidak melihat
bagaimana anak-anak buah saya beraksi. Sekarang bulan Ramadan, jadi
jangan tambah dosa dengan mengkritik yang bukan-bukan.
"Mereka sepatutnya jangan ganggu saya dan persiapan pasukan kerana
kami mempunyai misi besar untuk dilaksanakan iaitu layak ke Piala Asia
(2015) selain persiapan berdepan Barcelona (10 Ogos)," katanya kepada
pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), Sepang petang semalam.
Selepas mengharungi 13 perlawanan tahun ini, Harimau Malaya sekadar
mampu melakar dua kemenangan, satu pencapaian yang cukup memalukan.
Pada masa sama, Rajagobal yang dilantik sebagai pengendali Harimau
Malaya pada 20 April 2009 turut dikecam hebat selepas gagal memperbaiki
kedudukan skuad negara dalam ranking dunia apabila kini sekadar menghuni
tangga ke-159.
Terbaharu, Harimau Malaya diaibkan di bumi Jepun apabila mengalami
tiga kekalahan ketika menentang kelab dari negara Matahari Terbit itu.
Selepas tewas 0-5 kepada Shonan Bellmare, Harimau Malaya tumbang 0-2
ketika menentang Shimizu S Pulse sebelum dimalukan kelab Divisyen Dua
Liga Jepun, Tokyo Verdy dengan kekalahan 0-5 kelmarin.
Meskipun dilihat 'sudah terlambat', Rajagobal mengakui perlu meneliti
semula mana-mana aksi persahabatan jika ia berlangsung pada bulan
Ramadan selepas ini.
"Saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan tetapi pemain tampak
kepenatan apabila terpaksa beraksi pada siang hari di bulan Ramadan
sehingga sering membuat kesilapan mudah," jelasnya.
Ketika ditanya sama ada kritikan demi kritikan sedemikian seolah-olah
tidak mengenang jasa beliau selama ini, jelas Rajagobal: "Jangan tanya
saya. Tanya orang ramai. Mereka tahu siapa yang membantu negara
menamatkan kemarau selama 20 tahun bagi meraih pingat emas Sukan SEA."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan