Jumaat, 2 Ogos 2013

Kekal bimbing Harimau Malaya



TENGKU ABDULLAH (kanan) menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus memberi peluang kepada Datuk K. Rajagobal untuk membimbing skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, jika penilaian dibuat berdasarkan kiraan merit, Rajagobal gagal mencapai markah yang ditetapkan badan induk itu.

Bagaimanapun, FAM masih ‘berlembut hati’ apabila membuat keputusan untuk mengekalkan khidmat pengendali berusia 57 tahun itu sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember depan.

“Memang sukar untuk mencari pengganti dalam masa terdekat dan kita perlu menyokong beliau (Rajagobal) untuk terus meniup semangat para pemain skuad Harimau Malaya.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk mempersoalkan tentang pengguguran jawatannya kerana masa sangat singkat.

“Jadi kita perlu guna masa yang ada ini untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia pada Oktober nanti,” titah Tengku Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, Tengku Abdullah bertitah, FAM telah menerima beberapa calon yang memohon jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya dan pihaknya akan menapis secara terperinci individu terbabit sebelum membuat keputusan muktamad.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menegaskan bahawa para pemain juga perlu bermuhasabah diri serta menetapkan mentaliti untuk menang dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Selepas ini saya juga akan memastikan skuad negara hanya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Tengku Abdullah turut memberitahu, FAM akan mewujudkan dua jawatan baharu bagi memantapkan sistem pengurusan badan induk itu dengan memperkenalkan jawatan Pengarah Teknikal serta Pengarah Pembangunan.

“Dua jawatan tersebut amat penting dalam aspek pembangunan pemain-pemain belia serta menguruskan pelbagai urusan rasmi skuad Harimau Malaya selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, prestasi Rajagobal akan dinilai berdasarkan Indeks Penilaian Pencapaian (KPI) yang telah ditetapkan FAM dan jika baik, kemungkinan kontraknya akan disambung

“Seandainya keputusannya gagal, maka kemungkinan beliau akan ditamatkan kontrak, namun saya berpendapat ia bergantung kepada pencapaiannya pada kempen kelayakan Piala Asia 2015.
“Buat masa ini, kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat denegan apa yang mampu dilakukannya untuk memulihkan keadaan,” jelas Khairy.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan