KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net)
menempelak sikap pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang
menjadikan bulan puasa sebagai punca kekalahan kepada pasukan berstatus
kelab di Jepun pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Timbalan Presidennya, Mahizi Mahmood berkata, Rajagobal sepatutnya
berfikir secara mendalam sebelum mengeluarkan kenyataan dangkal tersebut
kerana ia dilihat boleh menyentuh sensitiviti umat Islam yang sedang
berpuasa.
Menurutnya, tindakan Rajagobal menjadikan ibadah puasa sebagai alasan
tidak masuk akal kerana beraksi di luar bulan puasa pasukan Harimau
Malaysia tetap gagal mencatat kemenangan.
"Apa yang dapat saya simpulkan, Rajagobal sudah tersepit dalam isu
ini, lantas menjadikan puasa sebagai alasan. Semua orang tahu umat Islam
akan berpuasa pada awal Julai hingga Ogos, kenapa perlawanan
persahabatan tetap diatur.
"Sekiranya, beliau tahu ia boleh menjejaskan prestasi pasukan, aksi
persahabatan ini boleh ditunda. Saya harap Rajagobal lebih matang
sebelum membuat kenyataan 'cerdik' seperti ini," katanya ketika
dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, peminat setia bola sepak negara sudah jelik dengan alasan
yang diberikan oleh pengendali berusia 57 tahun setiap kali pasukan
negara tumbang dalam aksi persahabatan.
Dalam tiga aksi persahabatan, Malaysia bukan sahaja gagal
menjaringkan sebarang gol tetapi kalah bermula dengan 0-2 kepada Shimizu
S- Pulse.
Ini diikuti dibelasah 0-5 kepada Shonan Bellmare, Sabtu lalu dan
kelmarin giliran Tokyo Verdy pula membenam skuad negara dengan jumlah
jaringan sama 0-5.
Dalam perkembangan lain, Kelab Penyokong The Red Warriors Kota
Bharu (TRW KB) menganggap kekalahan skuad kebangsaan pada aksi
persahabatan sepanjang bulan puasa ini memburukkan lagi imej bola sepak
negara.
Presidennya Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, Rajagobal perlu
bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut dan berhenti
memberikan alasan serta menyalahkan pemain dalam isu ini.
Katanya, tindakan Rajagobal tersebut mengeruhkan lagi imej bola sepak
negara yang sebelum ini telah tercemar ekoran kedegilannya menerima
kritikan yang diberikan oleh bekas pemain dan peminat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan