Ahad, 12 Mei 2013

Amukan ATM semakin berbisa



HAIRUDDIN (dua dari kanan) menjaringkan gol kemenangan ATM pada aksi menentang Felda United semalam.


AMUKAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semakin menjadi-jadi.
Biarpun turun tanpa penggempur berbisa mereka, Marlon Alex James, skuad kendalian B. Sathianathan itu tetap berjaya meraih kemenangan ke atas Felda United pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya semalam.

Pada perlawanan tersebut ATM menang tipis 1-0 hasil jaringan penyerang veteran, Hairuddin Omar.
"Saya puas hati dengan kemenangan ini. Kami turun tanpa Marlon, namun barisan pemain yang ada tetap mampu menggalas tugas dengan baik," kata Sathianathan.

Dengan kemenangan tersebut, ATM kini terus gagah menghimpit pendahulu liga setakat ini, Lions XII.
Menurut Sathianathan, kejayaan itu turut membuktikan bahawa ATM tidak terlalu menyandarkan harapan kepada Marlon untuk menggegar gawang lawan dan semua pemain nampaknya mampu menggalas tugas tersebut.

Tambah Sathianathan, beliau tidak mahu memberikan tekanan kepada skuad kendaliannya biarpun muncul sebagai pencabar utama kepada wakil Singapura untuk menjuarai liga pada musim ini.

Untuk rekod, The Gladiators yang mengutip 33 mata setakat ini, menduduki tangga kedua liga dan dipisahkan satu mata dengan Lions XII (34 mata).

Sementara itu, jurulatih Felda United, K. Devan menegaskan, kekalahan pasukannya berpunca daripada gol awal selain gagal menguasai permainan sepanjang perlawanan tersebut.

Jelas Devan, pemainnya gagal mengulangi prestasi cemerlang seperti mana yang dibuktikan ketika menewaskan Perak pada 3 Mei lalu.

"ATM begitu berdisiplin dan saya berpendapat, kami kurang bertenaga jika dibandingkan dengan aksi menentang Perak di laman sendiri, baru-baru ini.

"Saya menjangkakan perlawanan ini berkesudahan seri kerana kami memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri, tetapi sebaliknya berlaku. Saya berharap para pemain terus bekerja keras untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," kata Devan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan