Ahad, 19 Mei 2013

Atletico juara Piala Raja Sepanyol



PEMAIN dan pegawai Atletico meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Raja Sepanyol selepas menewaskan Real 2-1 di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam.


MADRID - Atletico Madrid menjulang trofi Piala Raja Sepanyol buat kali ke-10 selepas menewaskan musuh tradisi, Real Madrid 2-1 di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari dengan insiden 'panas' apabila jurulatih dan pemain Real, Jose Mourinho serta Cristiano Ronaldo diarah meninggalkan padang.

Real yang memiliki rekod tanpa kalah sepanjang 25 perlawanan menentang Atletico selama 14 tahun lalu mendahului seawal minit ke-14 apabila Ronaldo menanduk masuk sepakan penjuru Luka Modric.
Bagaimanapun, Diego Costa menyamakan kedudukan pada minit ke-55 sebelum perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.

Miranda muncul wira Atletico apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-98.
Mourinho yang dijangka membimbing Chelsea musim depan diarahkan meninggalkan padang 13 minit sebelum perlawanan sebenar tamat.

Perlawanan bertambah panas apabila Ronaldo dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas pemain Atletico, Gabi pada minit ke- 114.

Begitupun, Gabi yang turut dilayangkan kad merah pada masa tambahan menegaskan, pasukan itu berhak untuk melakar kemenangan tersebut.

"Pasukan ini telah bekerja keras demi penyokong-penyokong.
"Kami berhak menang dan kejayaan ini dituju khas buat para peminat yang telah menanti selama 14 tahun untuk menyaksikan Atletico menewaskan Real," kata Gabi.

Sementara itu, kapten Real, Sergio Ramos mengakui yang kegagalan mereka memanfaatkan beberapa peluang terbaik menjadi punca kekalahan Real.

"Selepas mendahului, kami mungkin lebih tenang dan Atletico mula mengasak kami.
"Kami memiliki empat atau lima peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi kami gagal untuk melakukannya.

"Apabila kami gagal berbuat demikian, kami harus menerima realiti dan kami perlu terima kekalahan ini," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan