Rabu, 8 Mei 2013

Tunku Ismail lahir rasa dukacita



TUNKU Ismail kecewa dengan persembahan yang ditampilkan Johor DT ketika tewas 0-2 kepada ATM pada aksi Liga Super kelmarin.


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam melahirkan rasa dukacitanya terhadap persembahan yang ditampilkan Johor Darul Takzim (DT) ketika tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super kelmarin.
Bagaimanapun Tunku Ismail bertitah, baginda akan bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan tersebut dan akan menjalankan post-mortem secara menyeluruh.

"Saya tidak menyalahkan jurulatih ataupun pihak pengurusan pasukan kerana saya sendiri ada bersama pasukan pada setiap sesi latihan dan menyaksikan sendiri segala usaha yang dilakukan. 

"Pelbagai kemudahan latihan juga telah disediakan bagi manfaat pemain termasuk sesi video taktikal selain perbincangan bersama jurulatih tetapi pada akhirnya, yang membuat keputusan untuk menang atau kalah adalah 11 orang yang beraksi di atas padang," katanya dalam kenyataan kepada media di Johor Bahru semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan itu, skuad Harimau Selatan gagal menyaingi kehebatan ATM dan mereka turut tewas 0-3 kepada Perak Stadium TLDM, Lumut, pada 27 April lalu.

Johor DT kini berada di tangga keempat Liga Super selepas mengutip 15 mata.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail bertitah, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat dalam kalangan pemain yang tidak mempunyai hati dan semangat untuk berjuang demi pasukan selain meletakkan diri sendiri sebelum pasukan. 

"Saya mengakui berasa kesal membeli beberapa pemain yang tidak menunjukkan kesungguhan dan akan mengambil tindakan yang sepatutnya pada bulan Disember nanti.

"Buat masa ini, usaha merebut kejuaraan akan diteruskan dengan pasukan dan kekuatan yang sedia ada," titah baginda.

Bertitik tolak daripada itu, Tunku Mahkota Johor itu bertitah, pada masa akan datang, hanya pemain yang benar-benar komited dan berazam tinggi menjulang kejuaraan akan diambil untuk beraksi bersama Johor DT.

"Ia termasuk juga mencari pemain import yang lebih berkualiti. Tumpuan akan diberikan kepada jentera pertahanan dan bahagian tengah," titah baginda lagi.

Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Johor atas semangat yang ditunjukkan selama ini. 

"Sebagai penyokong Johor, anda berhak mengetahui perkembangan dan permasalahan dalam pasukan dan saya akan memastikan PBNJ melakukan segala usaha bagi memperbaiki sebarang kelemahan," titahnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan