Sabtu, 11 Mei 2013

Selangor kongsi mata dengan Perak



PENYERANG Selangor, Amri Yahyah (tengah) dihalang dua pertahanan Perak pada aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 1-1.


PEMAIN gantian Selangor, Mohd. Raimi Md. Nor menyelamatkan maruah Gergasi Merah apabila meledak gol penyamaan ketika mengikat Perak 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam saingan liga musim ini.

Seperti yang diramalkan, Selangor yang melakukan rombakan kecil dengan tidak menyenaraikan kapten, Mohd, Asraruddin Putra Omar, dikejutkan dengan beberapa percubaan bahaya daripada jentera serangan Perak yang diketuai penyerang import, Paulo Rangel sebaik permainan separuh masa pertama bermula.

Skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah yang mempamerkan corak permainan lebih tersusun dan rapi itu, mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan cantik yang disempurnakan Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa pada minit ke-18.

Ia berpunca daripada sepakan percuma daripada luar kotak penalti dan Hazrul bijak menyudahkannya, menewaskan penjaga gol Gergasi Merah, Mohd. Sharbinee Allawee Ramlee.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor kembali mengasak benteng pertahanan lawan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan, namun tendangan percuma menerusi K. Gurusamy berjaya didakap kemas oleh penjaga gawang Perak, Farizal Marlias.

Bersambung babak kedua, strategi Irfan yang mengeluarkan S. Kunanlan dan digantikan Mohd. Fitri Shazwan nyata memberikan kesan kepada benteng pertahanan Skuad Seladang.
Begitupun, penjaga gol Perak, Farizal terlalu kebal untuk ditewaskan yang menutup kemas gawangnya daripada dibolosi.

Perak terpaksa meneruskan permainan dengan sepuluh pemain pada penghujung perlawanan ekoran pemain pertahanan import, Rafeal Souza dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-89.
Gergasi Merah yang terdesak memburu gol penyamaan, akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Raimi yang bijak memanfaatkan hantaran daripada penyerang veteran, Mohd. Amri Yahyah pada masa kecederaan untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah, Negeri Sembilan tewas 0-3 kepada Kelantan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan