Ahad, 5 Mei 2013

Impian belum tertunai




SAAT pesawat yang dinaikinya membelah awan pada 11 April lalu, saat itu juga hatinya tidak henti berbisik, seperti masih bersisa sedikit kecelaruan. Masih ada keraguan berlegar-legar mencari jawapan.
Akhirnya, permainan perasaan itu dapat dipintas oleh akal yang rasional. Keputusan Alyah muktamad, dia mahu kekal menutup aurat selepas pulang dari menunaikan umrah di Mekah.

Kematangan terzahir daripada buah fikirnya dan bicara penyanyi berusia 32 tahun menunduk bagai padi yang sedang menguning. Berkilauan keemasan namun dipandang dari dekat, tangkainya menunduk ke bumi.
Alyah tetap bimbang kalau-kalau perkongsian demi perkongsian yang terluah daripada bibirnya disalah faham, dia bimbang takut-takut dilihat mengundang riak pada pandangan orang.

"Saya takut juga kalau cerita-cerita tentang perubahan saya ini membuatkan orang lain kurang senang. Saya cuma bercerita tentang saya, apa yang saya lalui, untuk penilaian saya sendiri juga," getusnya sambil membetul-betulkan tudung yang dililit kemas di kepala.

Bulat hati Alyah untuk menjalani kehidupan dan kariernya sebagai seorang wanita berhijab berlaku sekembalinya daripada mengerjakan umrah buat kali kedua. Alyah tidak mahu membohongi diri, dia sendiri dihimpit banyak persoalan sebelum memutuskan untuk berubah imej.

Masih gila-gila

"Syukur Alhamdulillah, Dia memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang muncul. Tipulah kalau saya tidak berasa risau tentang kekangan dan cabaran yang harus saya lalui selepas berimej muslimah begini. Saya pun sudah banyak mendengar kisah-kisah selebriti lain yang terlebih dulu bertudung sebelum saya.
"Ada artis bertudung setelah berada di kedudukan sukses yang tidak mampu digugat oleh sesiapa, ada artis yang bertudung tetapi diuruskan oleh keluarga. Tapi saya, saya sendiri yang menentukan hala tuju saya.
SIBUK merangka promosi untuk single terbaharunya, Permata, dalam masa yang sama Alyah bakal muncul dengan sebuah album kompilasi tidak lama lagi.


"Dalam penerbangan balik pun saya masih terfikir hal itu, saya berfikir sampai terbawa-bawa ke dalam tidur. Saya bermimpi duduk di hadapan sungai, melihat yang mengalir tanpa henti. Bila saya bangun, saya terfikir lagi bahawa saya bukannya mahu melakukan sesuatu yang tidak baik.

"Saya reda, jika tiada peluang untuk saya lagi selepas ini, saya tetap bahagia dengan kehidupan yang datang. Semua ini tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," bicaranya tersusun menggambarkan ketenangan hidup yang sedang dirahmati.

Akui Alyah juga, biarpun masih membawa sifat gila-gila, adakalanya dia sensitif dan mudah kelam-kabut, namun perubahan imej itu turut membentuk satu lingkaran yang mendamaikan.
"Saya dapat rasakan sendiri. Sekarang, sibuk macam mana sekalipun, saya masih boleh rasa sedikit rileks, dahulu cepat sahaja nak gabra," katanya ketawa.
Belum fikir soal kahwin

Membawa penyanyi lagu Kisah Hati ke perbualan yang bersifat privasi. Sebagai wanita pelengkapnya adalah lelaki tetapi Alyah masih enggan mengakui hubungan istimewanya dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS.

"Okey. Sebelum memikirkan alam berumah tangga, saya mahu mengukuhkan ekonomi dulu. Walaupun orang mungkin nampak macam saya sudah ada tempat dalam industri ini, tapi saya masih ada impian lain. Saya juga mahu muncul dengan sebuah konsert, paling tidak pun ada mini showcase sendiri.

"Impian saya membelikan rumah untuk ibu belum tertunai. Sekarang masih ada banyak proses kena lalui. Perancangan kahwin itu biarlah dulu, saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Berkuasa," katanya sambil mengakui tidak mudah puas hati dengan pencapaian yang telah diraih setakat ini.
BERTUDUNG dan berimej muslimah bukanlah satu kekangan untuk Alyah tampil penuh gaya.


Dua belas tahun dalam industri, separuh daripada tempoh itu dia merangkak untuk dikenali dan separuh lagi barulah namanya wangi di taman seni, akui Alyah lagi, perjalanannya sebagai penyanyi masih terlalu panjang.
"Sekarang saya sedang mengumpul semula material untuk album yang tertangguh sekian lama. Saya dalam proses untuk menghimpunkan semula semua single yang dikeluarkan sebelum ini. Sepatutnya album itu telah disiapkan tahun lepas, tapi beberapa masalah teknikal menyebabkan ia tertangguh," jelas Alyah yang kini selesa menggunakan khidmat Syuib Ismail sebagai pengurus peribadinya.

Menghasilkan album kompilasi bawah terbitan syarikatnya sendiri Like Music Sdn. Bhd., Alyah merancang album yang mengandungi tujuh buah lagu termasuklah Realiti Dewi, Kau Bisu, Pesananmu, Lena Sahara, Kisah Hati, Kau Yang Terindah dan Permata boleh dilancarkan selewat-lewatnya Ogos nanti.

Kini rancak mempromosi single terbaharu, Permata nyanyian bersama Ben, penyanyi kanak-kanak yang menyerlah daripada program Bintang Idola, kata Alyah: "Sesuatu yang baharu juga berlaku kepada saya. Jika selama ini kelompok peminat yang meminati saya terdiri daripada peminat remaja hingga dewasa, sekarang saya sudah ada peminat daripada kalangan kanak-kanak. Perbezaan ketara setiap kali ada undangan persembahan."
Fesyen muslimah

Umpama sebuah kisah baharu, Alyah yang dahulunya popular atas percubaan-percubaan berani dari segi fesyen dan solekan itu tampil anggun dalam gaya muslimah yang tersendiri. Fesyen dan stail unik masih sebati dengan dirinya.

"Tapi saya tidak boleh menjadi terlalu simple. Berada dalam bisnes ini saya kena hadir dengan perancangan. Penampilan sangat penting dan saya masih dalam pembelajaran," katanya.

Sebagai selebriti, Alyah juga tidak mungkin dapat memadamkan ingatan dan gambar-gambar lama yang pernah membangkitkan perasaan kurang senang sesetengah peminat.

"Saya tak boleh paksa pihak lain supaya memadamkan gambar-gambar lama saya. Itulah hakikat sejarah Alyah hari ini. Perubahan yang saya lalui ini juga belum lagi secara total, cuma penampilan dan gaya sahaja. Secara peribadinya, saya masih Alyah yang dahulu," jelas Alyah turut berkira-kira mahu mengambil kelas vokal bagi memantapkan lagi skil nyanyiannya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan