Isnin, 6 Mei 2013

'Lakonan' Luiz ceriakan Chelsea



PENGADIL Howard Webb (dua dari kanan) melayangkan kad merah kepada Rafael (kanan) selepas mengkasari Luiz.


MANCHESTER - Pengendali Manchester United, Alex Ferguson mengutuk tindakan pemain pertahanan Chelsea dari Brazil, David Luiz yang 'berlakon' seperti 'angsa terbang' dalam aksi Liga Perdana England di Old Trafford kelmarin.

Tindakan Luiz itu juga telah mengakibatkan rakan senegaranya yang juga pertahanan kanan United, Rafael da Silva dibuang padang dalam pertemuan yang memihak kepada Chelsea 1-0 mengatasi juara Liga Perdana England itu.

Kekalahan tipis United hasil jaringan sendiri Phil Jones itu bagaimanapun tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka namun bagi Chelsea, kemenangan itu sangat bermakna kerana mencerahkan peluang mereka menamatkan saingan Liga Perdana musim ini dalam kelompok empat teratas serta layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Chelsea wajib menang ke atas Tottenham Hotspur di Stamford Bridge esok untuk berada dalam kelompok empat teratas liga.

Dalam pada itu, menurut Ferguson, beliau tidak kesal mereka tewas dalam perlawanan itu tetapi dia sangat kecewa dengan tindakan Rafael yang dibuang padang.

Provokasi yang dicetus Luiz itu telah mengakibatkan pengadil, Howard Webb menghukum Rafael.
Luiz bertindak membentes buku lali Rafael terlebih dahulu dan sebelum itu Luiz juga dilihat menyiku Rafael sebanyak dua kali dan apabila Rafael bertindak balas dia berpura-pura jatuh.

"Selepas Rafael dilayangkan kad merah, Luiz dilihat tersenyum puas. Perbuatan itu sangat terkutuk. Dia langsung tidak profesional.

"Pengadil ternyata telah terpengaruh apabila melihat Luiz tergolek berpura-pura kesakitan. Tetapi tindakan pengadil menghukum Rafael merupakan tindakan meragukan," jelas Ferguson.

Menurut Ferguson, apabila seseorang pemain itu bertindak balas dia pasti dihukum.
"Namun, Luiz yang memulakan tindakan tersebut dengan menyiku Rafael sebanyak dua kali dan Luiz juga wajar menerima hukuman yang sama. Ia jelas," kata Ferguson.

Kemenangan kontroversi itu bagaimanapun telah memberi kejayaan sangat bermakna buat Chelsea di gelanggang keramat pihak lawan namun pengurus Chelsea, Rafael Benitez enggan melancarkan perang mulut dengan rakan sejawatannya di United. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan