Rabu, 8 Mei 2013

Nazmi suntik nafas baharu buat PKNS



NAZMI (dua dari kanan) meraikan kejayaan rakan sepasukan menjaringkan gol ketika PKNS menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.


JURULATIH Selangor PKNS, Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan kehadiran pemain muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor telah mengubah dimensi baharu dalam pasukan itu.

Abdul Rahman memberikan pujian tersebut selepas bekas pemain S.C Beira-Mar itu mempamerkan persembahan cemerlang ketika menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Shah Alam kelmarin.
Sehubungan itu, Abdul Rahman menggesa anak-anak buahnya agar meneruskan semangat juang bagi memastikan PKNS terus kekal dalam kancah Liga Super musim ini.

"Pada pendapat saya, PKNS bermain lebih baik pada pusingan kedua liga.
"Sebaik pendaftaran pemain baharu dibuka, ternyata kemasukan Nazmi Faiz memberikan nafas baharu kepada pasukan ini.

"Hasilnya, penyerang import, Patrick Ronaldinho yang sebelum ini mempamerkan persembahan di bawah tahap sebenar, kembali bersemangat selepas digandingkan dengan Nazmi Faiz.

"Saya berharap perkara baik seperti ni akan kekal bagi memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain selain persaingan menarik untuk PKNS," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika ditanya mengenai pertembungan menentang Johor Darul Tazkim (Johor DT), Sabtu ini, Abdul Rahman menolak andaian bahawa PKNS merupakan pasukan 'pemusnah' kelab gergasi.
Jelasnya, kejayaan seperti menewaskan Kelantan dan Lions XII merupakan persembahan 'onform' PKNS, namun pada masa sama, beliau mengakui yang skuad bimbingannya masih ketinggalan kepada pasukan-pasukan besar tempatan.

Untuk rekod, PKNS pernah menewaskan juara bertahan Liga Super, Kelantan 2-0 dan Lions XII (1-0) dalam saingan liga.

"Kami tidak boleh menerima gelaran itu (pembunuh kelab gergasi).
"Apa yang boleh saya katakan, kami sentiasa berusaha untuk mempamerkan aksi lebih baik jika dibandingkan pada perlawanan terdahulu.

"Mungkin ketika itu, kami berada dalam keadaan terbaik dan faktor nasib lebih menyebelahi kami. Jika boleh, PKNS kini sedang berusaha untuk mengekalkan konsisten dalam tempoh jangka panjang.
"Masih terlalu awal untuk dibandingkan PKNS dengan mana-mana kelab gergasi. Matlamat kami pada musim ini adalah agar tidak tersingkir ke saingan Liga Premier dan mahu menghuni tangga pertengahan Liga Super," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan