Sabtu, 4 Mei 2013

Pahang, Selangor berhati-hati elak tercicir


Irfan Bakti (kiri), Dollah Salleh
KUALA LUMPUR - Pertembungan dua musuh tradisi, Pahang dan Selangor di Stadium Darul Makmur Selasa ini bakal menentukan peluang masing-masing dalam pemburuan kejuaraan Liga Super musim ini ketika saingan hanya berbaki lapan perlawanan.

Dengan hanya satu mata memisahkan kedua-dua pasukan, Selangor berada di tangga keempat diekori rapat oleh Pahang, hanya kemenangan boleh membantu impian mana-mana pasukan untuk terus mengejar kedudukan Lions XII yang semakin selesa di tangga teratas.

Atas kertas, Pahang mempunyai sedikit kelebihan kerana mempunyai tempoh rehat lebih panjang berbanding Selangor yang baru melalui perlawanan Piala AFC, namun mereka terpaksa melakukannya tanpa khidmat penyerang Argentina, Matias Conti.

Terpaksa melupakan aksi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu, jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh, terpaksa meletakkan harapan sepenuhnya kepada penyerang tempatan, Mohd. Fauzi Rozlan dan Azamuddin Mohd. Akil.

"Perkara yang menjadi kebimbangan (menjelang pertemuan dengan Selangor) adalah kita tidak boleh menggunakan Conti dan saya harap pemain lain yang diturunkan mampu memikul tugasan mendapatkan gol.

''Tanpa dia sekali pun, saya harap kelebihan beraksi di tempat sendiri dapat membantu kami dan prestasi para pemain dapat ditingkatkan berbanding bertemu Felda tempoh hari," kata Dollah ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketika memikirkan masalah di jentera serangan, Dollah semakin berpuas hati dengan persembahan di bahagian pertahanan sejak hadirnya pemain import baharu dari Jamaica, Damion Stewart.

''Apa yang saya dapati dalam tiga perlawanan terakhir kami lalui, masalah di bahagian pertahanan yang sering menjadi persoalan sebelum ini sudah selesai.

''Mereka dapat bermain dengan baik dan saya benar-benar rasa gembira sejak kehadiran Damion, " katanya.

Sementara itu, pengendali Red Giants, Irfan Bakti perlu berhati-hati dalam menurunkan pemain yang akan turun ke Kuantan kerana bakal melalui jadual perlawanan yang padat ekoran beraksi di pusingan kedua Piala AFC pada 15 Mei ini menentang kelab Maldives, New Radiant.

''Selepas menentang Pahang, akan ada lagi perlawanan pada 10 Mei dan 15 Mei, jadi saya kena mengadakan perancangan penggiliran pemain.

''Saya mungkin akan mengadakan perbincangan untuk menentukan pemain yang akan diturunkan tetapi kami tetap akan ambil serius untuk saingan liga.

''Ada pemain saya seperti Nasriq Baharom mengalami sindrom kepenatan akibat terlalu banyak beraksi dan ini sesuatu yang saya mahu elakkan terhadap pemain lain," katanya.

Pertahanan Selangor yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain dari Australia, Adam Griffiths dilihat beraksi semakin baik dan situasi itu pasti menjadikan pertembungan Tok Gajah serta Red Giants satu aksi yang sukar dijangkakan

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan