Ahad, 5 Mei 2013

Ferguson akui teruja


SIAP KAU!... Ferguson merindui hubungan

istimewanya dengan Mourinho dan

berharap kerinduannya akan terlerai apabila pengendali dari Portugal itu dijangka bakal berhijrah ke Chelsea musim depan.


LONDON - Pengendali Manchester United, Alex Ferguson mengaku tidak sabar menanti semula kehadiran Jose Mourinho dalam kancah saingan Liga Perdana England (EPL) musim depan.

Kedua-dua pengurus itu dilihat sering 'bertikam lidah' semasa Mourinho mengendalikan Chelsea selama empat musim bermula 2004 biarpun mereka dilaporkan memiliki hubungan yang baik di luar padang.

Meskipun Mourinho enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama Real Madrid, Ferguson mengakui teruja sekiranya pengendali kelahiran Portugal itu kembali semula ke pangkuan Chelsea.

Karisma yang dimiliki Mourinho ketika membantu Chelsea mendakap trofi EPL selama dua musim berturut-turut sejak 2005 juga pastinya ditunggu-tunggu Ferguson.

"Saya tidak tahu apa yang bakal dilakukan Mourinho tetapi jika benar beliau kembali ke sini sudah tentu saya teruja.

"Bukan apa, saya pastinya kembali 'panas' jika kembali bertemu Mourinho dalam mana-mana perlawanan," seloroh Ferguson.
Sebelum ini, Mourinho seolah-olah membayangkan bakal meninggalkan The Galacticos musim depan apabila secara terbuka mengakui sayangkan suasana di England.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada bakal kembali bersama Chelsea ataupun tidak.

"Saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu kekal ataupun berhijrah.

"Ini kerana saya perlu membincangkan perkara itu dengan keluarga dan Presiden (Florentino Perez) serta Pengarah Urusan Real(Jose Angel Sanchez) terlebih dahulu.

"Jadi, saya hanya akan membincangkan perkara itu sebaik saingan musim ini berakhir.

"Ketika ini, saya masih perlu memikirkan baki aksi saingan liga serta final Piala Raja Sepanyol," kata Mourinho. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan